Intervensi peribadi untuk kanak-kanak bermasalah tingkah laku

Mesej utama

Pada masa ini terdapat sedikit bukti untuk menyokong intervensi peribadi atau bersesuaian untuk kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku. Sedikit bukti yang ada ini adalah berkualiti rendah. Oleh itu, tidak jelas sama ada memperibadikan intervensi boleh menambahbaik hasil untuk kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi adalah diperlukan.

Apakah masalah tingkah laku?

Masalah tingkah laku ialah pelbagai tingkah laku yang mengganggu pada zaman kanak-kanak yang boleh memberi kesan negatif pada kehidupan individu. Masalah tingkah laku boleh membawa kepada kesukaran pada masa remaja dan dewasa, termasuk tingkah laku antisosial, penyalahgunaan bahan, kesukaran dengan pendidikan, dan masalah kesihatan mental.

Telah dicadangkan bahawa terdapat subkumpulan kanak-kanak bermasalah kelakuan yang berbeza. Subkumpulan ini termasuk variasi dalam umur bermulanya masalah tingkah laku, kesukaran emosi, gangguan hiperaktif kekurangan perhatian, ciri-ciri ibu bapa, tahap keagresifan dalam tingkah laku antisosial, dan pengaruh faktor genetik dan persekitaran berhubung sifat tidak berperasaan. Subkumpulan kanak-kanak ini mungkin memberikan respon yang berbeza terhadap rawatan, dan oleh itu adalah penting untuk menentukan sama ada intervensi yang menyasarkan kepada subkumpulan kanak-kanak ini boleh menyebabkan hasil yang lebih baik.

Intervensi yang disasarkan atau 'diperibadikan' ialah intervensi yang menyesuaikan aspek rawatan berbeza kepada keperluan subkumpulan ibu bapa dan kanak-kanak tertentu. Sebagai contoh, subkumpulan kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku yang mengalami konflik antara ibu bapa (perselisihan antara ibu bapa) berpotensi mendapat manfaat daripada program keibubapaan yang disesuaikan untuk memasukkan sesi tambahan yang memfokuskan pada konflik antara ibu bapa dan menawarkan teknik tertentu untuk menangani isu ini. Intervensi tidak diperibadikan hanya akan memberikan program keibubapaan, dan tidak mengandungi sesi tambahan yang memfokuskan pada konflik antara ibu bapa.

Apa yang kami ingin ketahui?

Ulasan ini menilai sama ada intervensi peribadi yang telah diadaptasi atau dibina untuk subkumpulan tertentu kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku adalah berkesan dalam menambahbaik masalah tingkah laku.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami telah melakukan carian yang meluas terhadap 13 pangkalan data. Kami juga mencari senarai rujukan kajian dan menghubungi pakar bidang.

Kami hanya memilih kajian yang dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal (RCT)'. Dalam jenis kajian ini, peserta diperuntukkan kepada kumpulan secara rawak. Satu kumpulan menerima intervensi dan satu lagi menerima rawatan yang berbeza atau tiada rawatan langsung. RCT bertujuan untuk mengurangkan risiko berat sebelah dalam kajian klinikal.

Subkumpulan kanak-kanak bermasalah tingkah laku dipisahkan kepada tiga kategori besar: kanak-kanak dengan keadaan yang berlaku bersama (cth masalah emosi), ciri-ciri ibu bapa (cth konflik antara ibu bapa) atau keadaan keluarga/persekitaran (cth keluarga luar bandar).

Semua kajian membandingkan intervensi yang diperibadikan dengan intervensi yang tidak diperibadikan.

Kami menggabungkan keputusan daripada beberapa kajian yang menggunakan langkah yang sama untuk menilai penambahbaikan dalam masalah tingkah laku kanak-kanak. Jika perkara ini tidak dibolehkan, kami melaporkan kajian secara individu.

Apakah yang kami temui

Kami mengenal pasti 13 RCT dengan 858 peserta untuk disertakan dalam ulasan. Tujuh kajian telah dijalankan di AS, lima di Australia, dan satu di Jerman. Sebelas kajian melaporkan sumber pembiayaan mereka, dengan lima kajian menerima geran daripada Institut Kesihatan Mental Negara. Secara keseluruhan, 15 pembiaya berbeza menyokong kajian tersebut.

Terdapat sangat sedikit bukti daripada kajian ini bahawa intervensi yang diperibadikan adalah lebih berkesan daripada intervensi yang tidak diperibadikan dalam menambahbaik masalah tingkah laku kanak-kanak atau kelakuan yang mengganggu.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana banyak kajian mempunyai batasan reka bentuk. Terdapat juga variasi dalam tempoh rawatan dan cara ia disampaikan. Ini bermakna kami perlu berhati-hati dalam menafsirkan keputusan yang kami temui, dan ia mungkin tidak boleh dipercayai.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nuryn Nadia Noor Azuan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information