Siklofotokoagulasi endoskopi untuk glaukoma sudut terbuka dan penutupan sudut primer

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui adakah siklofotokoagulasi endoskopi (ECP) menurunkan tekanan dalam mata bagi orang dengan glaukoma sudut terbuka atau penutupan sudut. Penulis Ulasan Cochrane mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan tidak menemui kajian yang telah selesai dan menemui satu kajian yang sedang berlangsung.

Mesej utama
Tidak ada kajian relevan yang telah diterbitkan yang membandingkan ECP dengan rawatan lain.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Glaukoma adalah keadaan mata yang biasa terjadi dan boleh menyebabkan buta jika tidak dirawat. Pada glaukoma, saraf optik (yang menghubungkan mata ke otak) telah rosak, sering disebabkan oleh peningkatan tekanan dalam mata akibat pengumpulan cecair. ECP adalah sejenis pembedahan di mana doktor menggunakan laser untuk melambatkan penghasilan cecair ini. Ini boleh menyebabkan tekanan mata dan kemungkinan kerosakan pada saraf optik menjadi lebih rendah. ECP boleh menyebabkan kurang kerosakan pada mata daripada jenis pembedahan glaukoma yang lain. Ini mungkin lebih selamat dan selesa dan membantu pemulihan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penulis Ulasan Cochrane tidak menemui kajian yang telah selesai yang boleh dimasukkan dalam ulasan ini.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Penulis Ulasan Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 12 Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information