Jenis-jenis bahan untuk pembedahan sling frontalis ptosis kongenital

Apakah tujuan ulasan ini?
Dalam pembedahan sling frontalis, kelopak mata disambungkan kepada alis di bawah kulit menggunakan pelbagai bahan. Ini biasanya dilakukan untuk ptosis kongenital, di mana otot yang sepatutnya membuka mata tidak terbentuk dengan baik. Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada pelbagai jenis bahan yang diguna untuk pembedahan sling frontalis ptosis kongenital memberi hasil yang berbeza. Yang paling penting, kami ingin menyiasat bahan apakah yang mempunyai kadar kejayaan tertinggi.

Mesej utama
Kami tidak pasti jenis bahan manakah yang mempunyai kadar kejayaan tertinggi. Terdapat tigakajian yang disertakan, yang menilai empat bahan yang berbeza. Tiada kajian yang menilai bahan-bahan yang sama seperti kajian lain, oleh itu keputusan-keputusan perlu dipertimbangkan secara individu. Ketiga-tiga kajian adalah kecil, dan oleh kerana ia membandingkan bahan-bahan yang berbeza, tiada cara untuk menentukan bahan mana yang paling berjaya dalam merawat ptosis kongenital.

Apakah yang kami kaji dalam ulasan ini?
Ptosis kongenital, di mana satu atau kedua-dua kelopak mata turun melentok sejak lahir, sering disebabkan oleh perkembangan otot yang lemah untuk mengangkat kelopak mata. Pembedahan sling frontalis adalah rawatan pembedahan yang paling berkesan. Banyak bahan telah digunakan atau masih digunakan dalam pembedahan ini. Tujuan ulasan ini adalah untuk melihat kadar-kadar 'kejayaan fungsi' (ditakrifkan sebagai keluasan pembukaan kelopak mata) pelbagai bahan yang diguna dalam pembedahan sling frontalis.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami memasukkan tiga kajian rawak terkawal yang membandingkan bahan-bahan sling frontalis. Di antara ketiga-tiga kajian tersebut, empat bahan dinilai: Gore-Tex, sutur Ethibond, jaringan Mersilene dan fasia lata autogenus. Dua kajian melibatkan kedua-dua mata dari peserta yang sama, manakala kajian lain melibatkan orang dengan ptosis pada satu atau kedua-dua mata. Data dari ketiga-tiga kajian tidak dapat digabung kerana bahan-bahan adalah berbeza. Adalah tidak jelas jenis bahan sling frontalis manakah yang mempunyai kadar kejayaan tertinggi.

Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 20 Jun 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information