Splinting untuk pinggul terkehel dan cetek pada bayi

Apakah pinggul terkehel atau cetek?

Pinggul terkehel atau cetek berlaku apabila bola dan soket di hujung tulang peha tak muat. Istilah perubatan ialah 'displasia perkembangan pinggul' (DDH). Pinggul cetek berlaku pada 10 daripada 1000 bayi baru lahir, walaupun pinggul terkehel jarang berlaku, iaitu terjadi dalam 1 dalam setiap 1000 bayi baru lahir. Pinggul boleh 'terkehel', tidak stabil (iaitu mudah terkeluar dari soket semasa pemeriksaan) atau 'stabil' (iaitu terletak di sendi sepanjang peperiksaan).

Bagaimanakah pinggul ini dirawat?

Pinggul cetek dan terkehel biasanya dirawat dengan splint pinggul. Splint mengawal pergerakan kaki untuk membimbing pinggul ke dalam soket, membolehkan pinggul bertambahbaik secara semulajadi. Splint sama ada boleh menetapkan kaki dalam kedudukan, dikenali sebagai 'splint statik', atau membenarkan kaki sedikit kebebasan untuk bergerak, dipanggil 'splint dinamik'. Kadangkala, doktor mungkin mengesyorkan penggunaan lampin berganda (double diapers), yang besar, dan menolak kaki secara perlahan-lahan untuk bertindak sebagai sejenis splint.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana kejayaan splinting, dan jika terdapat mana-mana kumpulan bayi di mana rawatan terbaik mungkin berbeza. Kami memberi tumpuan kepada perkembangan soket, keperluan untuk pembedahan lanjutan, dan sebarang komplikasi sehingga dua tahun selepas rawatan. Kami juga berminat dengan faktor yang ibubapa memberitahu kami adalah penting, seperti keupayaan untuk menyusu dan ikatan antara ibubapa dan bayi.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji splinting untuk pinggul cetek dan terkehel di kalangan bayi di bawah umur enam bulan. Kami berminat dengan kajian yang membandingkan kejayaan satu jenis splint dengan splint lain, atau splint berbanding tanpa rawatan. Kami menyertakan kajian yang menetapkan bayi ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza menggunakan proses yang dipanggil rawak dan kajian yang tidak menetapkan bayi secara rawak. Dalam kajian yang tidak menggunakan rawak, bayi biasanya diperuntukkan kepada kumpulan yang berbeza berdasarkan pilihan doktor. Walaupun kajian tanpa rawak menyumbang kepada perbincangan, kesimpulan kami adalah berdasarkan sebahagian besar hasil kajian yang menggunakan rawak.

Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui enam kajian yang menggunakan rawak dan menyertakan 576 bayi dan 16 kajian yang tidak menggunakan rawak dan menyertakan 8237 bayi.

Lima kajian mempunyai pembiayaan bukan komersial, tiga kajian menyatakan tiada pembiayaan dan 14 kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Membandingkan splinting dinamik segera kepada splinting tertangguh atau tiada splinting

Empat kajian membandingkan splinting dinamik pada diagnosis pertama dengan strategi menunggu sehingga 12 minggu selepas diagnosis sebelum memulakan rawatan. Dua kajian melihat pada pinggul cetek yang stabil, satu pada pinggul cetek yang tidak stabil dan satu pada gabungan kedua-duanya. Tiada kajian yang menyertakan pinggul terkehel.

Di antara pinggul yang tidak terkehel, dua kajian menunjukkan tiada bukti jelas tentang perbezaan dalam perkembangan soket pada satu tahun dengan menangguhkan rawatan awal. Tambahan pula, dua kajian pinggul stabil menunjukkan bahawa perkembangan soket tidak berbeza pada dua tahun dengan menangguhkan rawatan awal. Tiada kajian melaporkan hasil pada lima tahun selepas rawatan.

Menangguhkan permulaan rawatan tidak meningkatkan bilangan komplikasi atau kadar pembedahan kemudian dalam tiga kajian. Satu kajian mengenalpasti dua bayi yang memerlukan pembedahan dalam kumpulan splinting dinamik.

Dua kajian melihat komplikasi penting yang dipanggil 'nekrosis avaskular', di mana bekalan darah ke pinggul rosak. Tiada pinggul terjejas oleh ini dalam kedua-dua kajian.

Membandingkan splinting dinamik segera kepada splinting tertangguh atau tiada splinting

Tiada kajian rawak yang membandingkan rawatan ini.

Membandingkan lampin berganda dengan lampin tunggal

Satu kajian membandingkan lampin berganda dengan lampin tunggal tetapi tidak melaporkan sebarang hasil yang menarik.

Membandingkan splinting dinamik dengan statik

Satu kajian melaporkan tiada kejadian nekrosis avaskular dengan kedua-dua rawatan.

Membandingkan pembukaan segera splint pada akhir rawatan dengan pembukaan secara beransur-ansur (penceraian)

Tiada kajian rawak yang membandingkan rawatan ini.

Ringkasan keseluruhan

Hanya 576 bayi telah terlibat dalam kajian rawak untuk mencari rawatan terbaik dalam DDH. Di antara pinggul yang stabil, tiada bukti jelas untuk menyokong rawatan dengan splint pada bila-bila masa. Untuk pinggul yang tidak stabil, kelewatan dalam rawatan sehingga enam minggu mempunyai keputusan yang sama pada satu tahun, dengan pinggul yang lebih sedikit memerlukan rawatan.

Keputusan daripada kajian tanpa rawak menyokong penemuan daripada kajian dengan rawak, tanpa menawarkan sebarang penjelasan tambahan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana kami mendapati hanya beberapa kajian, yang merupakan kecil, dengan hanya beberapa bayi disertakan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan. Di samping itu, kajian dijalankan ke atas pelbagai jenis bayi dan bukan semua kajian memberikan data tentang semua yang ingin kami ketahui.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information