Antihistamin untuk mencegah dan merawat mabuk perjalanan

Apakah matlamat ulasan ini?

Mabuk perjalanan, juga dikenali sebagai mabuk laut atau mabuk kereta, adalah satu set simptom - biasanya loya dan muntah. Gejala-gejala ini disebabkan oleh pergerakan pasif badan - di mana badan anda bergerak tanpa sedar anda membuatnya bergerak - sebagai tindak balas kepada gerakan sebenar (contohnya, memandu di dalam kereta atau berada di dalam bot), atau ilusi pergerakan apabila terdedah kepada maya pergerakan (contohnya, simulasi realiti maya) dan persekitaran visual bergerak (seperti melihat ke luar tingkap kereta api yang sedang bergerak). Antihistamin adalah sejenis ubat yang lazimnya diberikan kepada orang ramai sama ada untuk merawat atau mencegah mabuk. Dalam kajian ini, kami ingin mengetahui sama ada ubat ini benar-benar berfungsi untuk tujuan ini.

Mesej utama

Kami mendapati bahawa antihistamin mungkin mengurangkan risiko mendapat simptom mabuk dalam keadaan bergerak secara semula jadi (seperti kapal atau kapal terbang) jika dibandingkan dengan plasebo (rawatan dummy), pada orang dewasa yang terdedah kepada mabuk perjalanan. Kami juga mendapati bahawa jika dibandingkan dengan plasebo, antihistamin lebih berkemungkinan menyebabkan seseorang mengantuk. Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat sama ada antihistamin berkesan atau tidak untuk merawat mabuk apabila symptom ini telah bermula dan terdapat sedikit maklumat tentang kesannya terhadap kanak-kanak bawah umur 18 tahun. Untuk semua penemuan lain yang telah disiasat, terdapat ketidakpastian tentang kesan sebenar antihistamin berbanding ubat lain dan bukan ubat, atau kesan sampingan dan kesan sampingan yang lain pada fungsi badan (seperti degupan jantung atau pergerakan perut).

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami melihat kajian di mana orang yang diketahui mendapat mabuk perjalanan diberi rawatan sama ada dengan antihistamin atau dengan plasebo (rawatan dummy). Kami juga melihat mereka yang telah diberi antihistamin berbanding ubat lain atau jenis terapi bukan ubat lain.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Antihistamin berbanding plasebo

Keputusan menunjukkan bahawa antihistamin mungkin lebih berkesan daripada plasebo untuk mencegah gejala mabuk dalam keadaan semula jadi.

Terdapat ketidakpastian tentang sama ada antihistamin berkesan atau tidak untuk mencegah mabuk, atau jika ia mempunyai kesan pada tachyarrhythmia gastrik (cara bahagian dalam perut anda bergerak), bawah keadaan eksperimen (dalam persekitaran makmal) jika dibandingkan dengan plasebo.

Antihistamin mungkin lebih cenderung menyebabkan sedasi (mengantuk) jika dibandingkan dengan plasebo. Terdapat ketidakpastian sama ada antihistamin menyebabkan penglihatan kabur (tidak dapat melihat dengan jelas) atau kognisi terjejas (tidak dapat berfikir dengan jelas) jika dibandingkan dengan plasebo.

Antihistamin berbanding skopolamin

Terdapat ketidakpastian tentang keberkesanan antihistamin dalam pencegahan mabuk perjalanan atau keupayaannya untuk membuat seseorang mengantuk jika dibandingkan dengan skopolamin dalam keadaan semula jadi.

Antihistamin berbanding antiemetik

Terdapat ketidakpastian tentang keberkesanan antihistamin dalam pencegahan mabuk dalam keadaan semula jadi atau keadaan makmal, kesannya terhadap pergerakan perut atau keupayaannya untuk membuat seseorang mengantuk jika dibandingkan dengan antiemetik.

Antihistamin berbanding akupunktur

Terdapat ketidakpastian tentang keberkesanan antihistamin dalam mencegah mabuk berbanding akupunktur di bawah keadaan makmal.

Adakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini adalah yang terkini setakat 7 Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information