Ribavirin untuk merawat demam berdarah Crimean Congo

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada ribavirin merupakan rawatan yang berkesan untuk demam berdarah Crimean Congo. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Kami mendapati 23 kajian. Kami menyertakan lima kajian dalam ulasan ini yang membantu menjawab soalan. Kami menganalisis 18 kajian lain untuk membantu menerangkan batasan bukti.

Mesej utama

Bukti yang boleh dipercayai adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada ribavirin berkesan dalam merawat demam berdarah Crimean Congo. Kajian klinikal terawak boleh membantu untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Demam berdarah Crimean Congo (CCHF) ialah jangkitan yang disebarkan melalui gigitan kutu. Ia telah menjadi biasa dalam 15 tahun yang lalu, terutamanya di Turki dan sebahagian Eropah Timur. CCHF boleh mengancam nyawa. Cara paling penting untuk menjaga orang yang sangat tidak sihat dengan CCHF adalah memantau mereka dengan teliti di hospital dan memberi mereka cecair atau produk darah yang mungkin mereka perlukan.

Ribavirin ialah ubat antivirus yang digunakan oleh sesetengah doktor untuk merawat CCHF. Ia boleh didapati secara meluas dan biasanya diambil melalui mulut. Terdapat perdebatan mengenai sama ada ribavirin diperlukan untuk merawat CCHF; ada yang berpendapat bahawa ia adalah rawatan yang berkesan, atau membantu jika diberikan awal, manakala yang lain mengatakan bahawa ia tidak memberi kesan, dari segi risiko kematian, tempoh masa yang diperlukan di hospital, dan tahap bahaya daripada ubat itu sendiri.

Secara keseluruhan, reka bentuk kajian tidak mengambil kira faktor selain daripada mengambil ribavirin yang boleh menghasilkan hasil yang lebih baik dalam kumpulan intervensi, termasuk betapa sakitnya pesakit apabila didiagnosis, atau apabila rawatan perubatan sokongan yang baik dimulakan. Ini menjadikan sebarang perkaitan antara ribavirin dan kematian yang lebih rendah menjadi masalah.

Kami menjumpai lima kajian yang mengambil kira faktor penting yang boleh mengelirukan risiko kematian dengan sama ada pesakit menerima ribavirin atau tidak. Ini termasuk betapa sakitnya peserta kajian, penjagaan lain yang mereka terima, dan berapa lama selepas mereka sakit mereka menerima rawatan perubatan. Semua kajian termasuk telah dijalankan di Turki dan Iran, dan membandingkan orang dengan CCHF yang menerima ribavirin dan penjagaan sokongan kepada mereka yang menerima penjagaan sokongan sahaja. Kami melihat lima hasil berbeza yang berkaitan dengan penggunaan ribavirin dalam CCHF, dan mendapati bahawa terdapat kekurangan bukti yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada ribavirin berkesan.

Sejauh mana semakan terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 16 Oktober 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information