Risiko kemandulan dalam kalangan wanita dengan IBD yang telah menjalani pembedahan

Apa itu penyakit radang usus?
Terdapat dua jenis penyakit radang usus: Penyakit Crohn dan kolitis ulseratif. IBD adalah penyakit sistem penghadaman yang dialami sepanjang hayat. Pesakit dengan IBD, antara gejala lain, boleh mengalami cirit-birit, sakit perut, dan keletihan. IBD sering dikesan pada remaja dan awal dewasa, sekitar masa untuk membuat keputusan perancangan keluarga. Kajian terdahulu telah mencadangkan bahawa wanita yang telah menjalani pembedahan untuk membuang kolon mereka dan mewujudkan poket dubur anastomosis (IPAA atau Kantung-J) mungkin mempunyai masalah untuk hamil. Jenis pembedahan ini adalah perkara biasa dalam kalangan wanita yang mempunyai kolitis apabila ubat-ubatan tidak berkesan. Kesan akibat lain-lain jenis pembedahan IBD yang memberi kesan kepada keupayaan seorang wanita untuk hamil tidak diketahui.

Apakah jenis pembedahan yang diperlukan oleh mereka dengan IBD ?
Apabila ubat tidak berkesan, seseorang yang mempunyai IBD mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang sebahagian daripada usus atau kolon, yang boleh menyebabkan keperluan untuk ostomi-pembukaan dalam kulit yang dicipta untuk membolehkan tinja disalurkan ke dalam beg koleksi di luar badan. Pembedahan tambahan yang pesakit dengan kolitis mungkin hadapi adalah IPAA, juga dipanggil Kantung-J. Prosedur ini mencipta takungan menggunakan sebahagian daripada usus kecil, yang membolehkan ostomi ditutup. Mereka dengan penyakit Crohn juga berkemungkinan menghadapi kolon mereka dibuang. Walau bagaimanapun, mereka dengan penyakit Crohn jarang menerima Kantung-J kerana kantung itu sering menjadi radang. Di samping itu, mereka dengan penyakit Crohn mungkin menghadapi sebahagian daripada usus kecil mereka dibuang atau pembedahan strictureplasty dijalankan untuk memperluaskan usus di mana ia telah mengecil kerana parut. Pembedahan ini boleh dilakukan melalui pendekatan cara laparoskopi atau pendekatan terbuka. Dalam pembedahan laparoskopi, kamera dan alat dimasukkan melalui insisi kecil dan insisi yang lebih besar sedikit dibuat untuk membuang bahagian usus yang berpenyakit. Dalam pembedahan terbuka, satu potongan besar dibuat pada abdomen, membolehkan pakar bedah untuk melihat secara langsung dan mengeluarkan bahagian usus yang berpenyakit.

Apakah yang dikaji oleh para penyelidik?
Penyelidik mengkaji semula literatur untuk mengenal pasti kajian terdahulu yang melaporkan risiko kemandulan dalam kalangan wanita dengan IBD yang mempunyai pembedahan yang berkaitan dengan IBD dan kajian yang melaporkan kesan pembedahan sebelumnya ke atas kehamilan (keguguran, kelahiran mati, pramatang, berat kelahiran yang rendah, dan kecil untuk usia gestasi) atau komplikasi kehamilan (kencing manis, penyakit darah, kemurungan badan, dan pendarahan).

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?
Penyelidik menjumpai 16 kajian yang melaporkan kesan pembedahan ke atas kemandulan atau kehamilan dalam kalangan wanita dengan IBD. Sembilan kajian membanding wanita dengan dan tanpa sejarah pembedahan. Empat daripada kajian ini melaporkan tentang kesan pembedahan ke atas keupayaan wanita untuk hamil. Kami tidak dapat mencapai kesimpulan tentang kaitan antara pembedahan dan kemandulan kerana kualiti bukti yang rendah daripada kajian ini. Lapan melaporkan tentang hasil dan komplikasi kehamilan. Bukti dari kajian ini juga berkualiti rendah, dan kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan pembedahan IBD ke atas hasil kehamilan. Bukti dari satu kajian membandingkan kemandulan dalam kalangan wanita yang menjalani pembedahan terbuka dan laparoskopi juga berkualiti rendah. Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan prosedur terbuka dan laparoskopi pada kemandulan. Baki enam kajian membanding wanita sebelum dan selepas pembedahan. Satu kajian yang membanding wanita dengan IBD yang tidak dan tidak mempunyai pembedahan juga berbanding wanita sebelum dan selepas pembedahan. Tujuh kajian membandingkan wanita sebelum dan selepas pembedahan menghasilkan bukti berkualiti rendah terhadap perbezaan dalam keupayaan wanita untuk hamil dan hasil kehamilan sebelum dan selepas pembedahan.

Kesimpulan
Kajian mengenai kesan pembedahan berkaitan IBD mengenai keupayaan wanita untuk hamil dan hasil kehamilan adalah jarang berlaku dan berkualiti rendah. Oleh itu, maklumat yang dikaji semula dalam kajian sekarang mengenai kaitan antara pembedahan yang berkaitan dengan IBD dan hasil kehamilan mempunyai risiko bias tinggi, dan kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit dalam kesimpulan ini. Keputusan kami hendaklah ditafsirkan dengan berhati-hati. Tambahan kajian yang direka dengan baik mengenai topik ini diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save