Kortikosteroid untuk merawat sesak nafas berkaitan kanser dalam kalangan pesakit dewasa yang mempunyai kanser

Latarbelakang

Sesak nafas merupakan simptom lazim dalam kalangan pesakit kanser berperingkat lanjut. Sesak nafas mungkin berpunca dari gabungan pelbagai penyebab termasuk kanser paru-paru, penyakit perebakan ke bahagian lain dalam badan (contoh, kesan himpitan oleh kanser di abdomen ke diafragma), atau keadaan berkaitan kanser yang menjejaskan saraf atau otot-otot berkaitan pernafasan. Kesakitan dan gangguan psikologi (seperti ketakutan dan keresahan) atau penyakit paru-paru yang sedia ada boleh menjadikan simptom bertambah buruk. Penghidap kanser melaporkan sesak nafas yang dialami berhubung kait dengan gangguan psikologi yang tinggi dan kualiti hidup yang lebih rendah. Ubat-ubatan boleh digunakan untuk merawat sesak nafas dalam populasi ini; dan satu ubat yang lazim digunakan ialah kortikosteroid. Dalam ulasan ini, kami menilai keberkesanan ubat kortikosteroid dalam merawat kesesakan nafas yang dikaitkan dengan kanser dalam kalangan pesakit dewasa, berbanding dengan mana-mana kawalan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari tulisan yang terdapat dalam bulan Januari 2018. Kami menemui dua kajian, melibatkan sejumlah 157 peserta, yang telah menguji kesan ubat kortikosteroid ke atas kesesakan nafas dalam kalangan pesakit dewasa yang menghidapi kanser, berbanding kepada ubat-ubatan plasebo. Satu kajian berlangsung selama tujuh hari, dan satu kajian lain selama 15 hari. Kedua-dua kajian membandingkan ubat kortikosteroid (dexamethasone secara oral) dengan ubatan plasebo (yang tidak mempunyai sebarang kesan rawatan) untuk mengurangkan kesesakan nafas, telah kami masukkan dalam analisis kami.

Kami memberi tumpuan kepada hasil utama ke atas kesan keamatan kesesakan nafas, kualiti dan bebanan yang dilaporkan peserta. Kami juga melihat kepada hasil sekunder ke atas kesan-kesan sampingan yang serius, kepuasan peserta dengan rawatan dan penarikan diri peserta daripada kajian.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak dapat menyempurnakan banyak analisis yang telah dirancang kerana bilangan kajian yang kecil; perbezaan ubat yang digunakan serta perbandingan yang dibuat, dan perbezaan hasil-hasil yang dilaporkan oleh kajian. Kami telah melaksanakan satu analisis melibatkan 114 peserta untuk menilai perubahan keamatan kesesakan nafas/kelegaan daripada garis dasar. Kami dapati kortikosteroid tidak ada kesan berfaedah dibandingkan kepada plasebo ke atas pengurangan keamatan kesesakan nafas dalam kalangan pesakit kanser.

Kami mendapati kekerapan kesan-kesan sampingan adalah serupa antara kumpulan, dan ubat kortikosteroid ini pada amnya boleh diterima oleh semua. Tiada kajian yang mengukur kepuasan peserta terhadap rawatan. Penarikan diri peserta adalah sebanyak 15% dan 36% dalam dua kajian.

Kualiti bukti

Bukti terkini hanya berdasarkan ke atas dua kajian yang melibatkan bilangan peserta yang kecil. Kami mengkelaskan kualiti bukti dari kajian-kajian ini kepada empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermaksud kami sangat yakin dalam keputusannya. Kami nilaikan kualiti bukti dalam ulasan ini sebagai sangat rendah kerana masalah dengan kualiti kajian dan data yang terlalu sedikit. Kami sangat tidak pasti akan keputusan-keputusan. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk menentukan samada ubat kortikosteroid adalah berkesan untuk rawatan sesak nafas dalam kalangan pesakit kanser.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S, Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia) azlanh@usm.my

Tools
Information
Share/Save