Senaman untuk meningkatkan hasil bagi wanita dengan diabetes sedia ada dan bayi mereka

Apakah isunya?

Diabetes mellitus boleh disebabkan oleh kemusnahan autoimun sel yang menghasilkan insulin, menyebabkan parasnya berkurang (diabetes jenis 1), atau tisu badan menjadi rentang terhadap insulin (diabetes jenis 2). Keputusan akhir adalah peningkatan paras glukosa darah. Insulin digunakan untuk mengawal paras glukosa dalam wanita hamil dengan diabetes jenis 1. Bagi wanita dengan diabetes jenis 2, perubahan gaya hidup, termasuklah pemakanan dan senaman, merupakan sebahagian rawatan yang penting. Ubat anti-diabetik oral (ubat yang bertujuan untuk mengurangkan paras gula dalam darah) atau insulin boleh ditambah bagi mengurangkan paras glukosa dalam darah. Kami berazam untuk menilai kesan intervensi senaman, untuk wanita hamil dengan diabetes jenis 1 atau 2 yang sedia ada, mengenai hasil kelahiran untuk ibu dan bayinya. Ulasan awal mengenai kesan senaman diabetes semasa mengandung telah dibahagikan kepada dua sorotan - satu untuk wanita yang menghidap diabetes gestasi, dan sorotan ini, mengenai wanita yang mempunyai diabetes yang sedia ada sebelum hamil.

Mengapakah ini penting?

Wanita yang menghidap diabetes, yang hamil, mengalami peningkatan risiko kehilangan kehamilan, atau mempunyai bayi yang besar untuk umurnya (bayi lebih besar daripada yang dijangkakan untuk bilangan minggu kehamilan), lahir pramatang, mati pada masa lahir, atau dilahirkan dengan kecacatan. Bayi yang baru lahir mungkin juga mempunyai paras gula darah yang lebih rendah daripada paras normal, paras kalsium rendah, dan bilirubin yang berlebihan dalam darah. Susulan jangka panjang bagi bayi dengan ibu berpenyakit kencing manis menunjukkan bahawa mereka mempunyai risiko obesiti dan diabetes jenis 2 yang tinggi apabila dewasa.

Bilangan wanita yang telah mempunyai diabetes ketika hamil semakin meningkat, dan mengenalpasti cara bagi meningkatkan kesihatan wanita yang menghidap kencing manis serta bayi mereka adalah keutamaan. Kita sudah mengetahui bahawa senaman mungkin memberi manfaat kepada wanita yang tidak hamil dengan diabetes jenis 2, kerana ia meningkatkan paras glukosa darah mereka dan mengurangkan lemak trigliserida dalam darah. Kami tidak jelas sama ada manfaat senaman, selamat untuk wanita hamil dengan diabetes sedia ada dan bayi mereka. Aktiviti fizikal boleh membantu meningkatkan kecergasan dan menghindari inkontinens urinari, sakit belakang atau kemurungan, dan mengawal berat badan semasa hamil.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti hingga 27 Jun 2017. Kami tidak menjumpai sebarang kajian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan semua jenis program senaman (ditambah penjagaan standard) untuk wanita hamil dengan diabetes sedia ada dengan 1) penjagaan standard sahaja, atau 2) penjagaan standard serta program senaman lain.

Apakah maksudnya?

Tiada bukti dari RCT untuk menilai kesan intervensi senaman untuk meningkatkan hasil ibu dan bayi pada wanita dengan diabetes sedia ada.

Kajian berkualiti baik, besar sangat diperlukan untuk mengetahui sekiranya intervensi senaman adalah selamat, dan jika ia meningkatkan kesihatan bagi wanita hamil dengan diabetes dan bayi mereka. Kajian pada masa depan dalam lingkungan ini boleh menggunakan hasil yang disenaraikan dalam sorotan ini, untuk meningkatkan konsistensi antara kajian dalam lingkungan ini, dan membantu analisis masa depan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save