Latihan senaman untuk kanser paru-paru lanjutan

Soalan Ulasan

Kami melihat kesan latihan senaman ke atas tahap kesihatan, kekuatan otot, kualiti hidup, kesukaran bernafas, keletihan, perasaan bimbang dan murung, dan fungsi paru-paru dalam pesakit dengan kanser paru-paru lanjutan.

Latar belakang

Pesakit dengan kanser paru-paru lanjutan sering mempunyai banyak simptom dan penyakit-penyakit lain. Gabungan dengan kesan sampingan rawatan kanser, menyebabkan pesakit kurang sihat. Hal ini membimbangkan kerana tahap kesihatan adalah ukuran kesihatan seluruh badan, dan adalah kritikal dalam keupayaan pesakit menjalani aktiviti kehidupan dan mentoleransi rawatan yang sukar. Latihan senaman telah memperbaiki kesihatan, kekuatan otot dan kualiti hidup dalam kalangan orang yang terselamat dari beberapa jenis kanser. Walau bagaimanapun, kesan latihan senaman ke atas hasil-hasil tersebut dalam kalangan orang dengan kanser paru-paru lanjutan adalah tidak jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari semua kajian penyelidikan (kajian rawak terkawal) yang diterbitkan sehingga Julai 2018. Kami menemui enam kajian yang menyertakan 221 peserta, dengan purata umur dari 59 ke 70 tahun. Kajian-kajian tersebut menyertakan bilangan peserta yang berbeza, dari 20 sehingga 111.

Keputusan-keputusan utama

Keputusan kami menunjukkan, berbanding mereka yang tidak bersenam, pesakit dengan kanser paru-paru yang bersenam adalah lebih sihat dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kami tidak menemui sebarang perbezaan dalam kekuatan otot, kesukaran bernafas, keletihan, perasaan bimbang dan murung, atau fungsi paru-paru. Tiada bahaya serius dilaporkan dalam kalangan orang dengan kanser paru-paru yang bersenam, tetapi hanya tiga kajian membincang tentang bahaya.

Kualiti bukti

Keputusan ulasan ini adalah tidak jelas, terutamanya kerana bilangan kecil kajian yang ditemui, bilangan kecil peserta di dalam kajian-kajian tersebut, dan kajian-kajian tidak dijalankan dengan standard yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save