Saringan untuk risiko aspirasi yang dikaitkan dengan disfagia dalam strok akut

Persoalan

Sejauh manakah tepat alat saringan menelan untuk mengesan apabila makanan dan minuman memasuki saluran pernafasan pada orang yang mengalami strok akut?

Latar belakang

Strok selalunya menjejaskan keupayaan seseorang untuk menelan, membenarkan makanan dan minuman ke dalam saluran pernafasan. Ini boleh menyebabkan tercekik, jangkitan dada, malnutrisi, dehidrasi, dan pengurangan pemulihan, dengan peningkatan risiko kegelisahan, kemurungan, discaj ke rumah jagaan dan kematian. Pengenalpastian awal dan pengurusan menelan yang tidak teratur melalui ujian yang paling tepat mengurangkan risiko-risiko ini. Jika ujian gagal mengenal pasti kesukaran menelan, orang tersebut akan meneruskan pengambilan oral dan mungkin mengalami kesukaran yang dikenal pasti di atas. Jika ujian itu salah mengenal pasti kesukaran menelan, seseorang itu mungkin tidak diberi apa-apa untuk dimakan atau diminum, yang menjejaskan kualiti hidup dengan ketara, sehingga penilaian yang lebih terperinci dilakukan (biasanya pada hari berikutnya).

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 25 kajian yang menggunakan sejumlah 37 alat. Tujuh alat tidak menggunakan air atau konsistensi lain, 24 hanya menggunakan air, dan enam mempertimbangkan air dan konsistensi lain.

Keputusan utama

Kami tidak dapat mengenal pasti alat yang boleh mengenal pasti semua orang dengan tepat dengan makanan dan minuman yang memasuki saluran pernafasan mereka, serta tidak dapat mengesan semua. Banyak kajian melibatkan perawat kesihatan profesional yang berbeza, konsistensi ujian makanan dan cecair, dan masa antara permulaan strok dan ujian saringan, maka tidak jelas alat mana yang terbaik. Kami tidak dapat membandingkan secara langsung alat yang berbeza kerana kebanyakan kajian menggunakan kaedah yang berbeza.

Kami dapat mengenal pasti alat yang paling mampu untuk mengesan orang yang mempunyai risiko dan tanpa risiko kesukaran menelan daripada kajian dengan bukti kualiti yang baik. Gabungan terbaik ujian menelan air dan instrumental ialah ujian Aspirasi Tepi Katil, gabungan terbaik air serta alat kosistensi lain ialah Skrin Menelan Gugging, dan alat air sahaja yang terbaik ialah Ujian Saringan Menelan Tepi Katil Toronto. Walau bagaimanapun, doktor harus berhati-hati dalam tafsiran mereka terhadap penemuan ini, kerana ujian-ujian ini berdasarkan kajian tunggal dengan saiz sampel yang kecil.

Kualiti bukti

Kebanyakan kajian yang disertakan dijalankan dengan tidak baik atau tidak jelas dalam melaporkan perkara yang mereka lakukan (iaitu tidak jelas atau berisiko berat sebelah yang tinggi).

Kesimpulan

Kami tidak dapat mengenal pasti satu alat dengan gabungan tahap ketepatan yang tinggi dan bukti berkualiti yang baik. Walau bagaimanapun, kami dapat menawarkan cadangan untuk kajian berkualiti tinggi selanjutnya yang diperlukan untuk meningkatkan ketepatan dan kegunaan klinikal alat saringan menelan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information