Adakah senaman fizikal mempunyai kesan bermanfaat atau bahaya terhadap sirosis?

Latar belakang

Kerosakan hati yang berpanjangan boleh menyebabkan parut pada tisu, yang akhirnya menggantikan tisu hati yang sihat dan menyebabkan kerosakan kronik (sirosis). Pesakit sirosis lazimnya merana kehilangan jisim otot dan kekuatan otot. Yang demikian, senaman fizikal mungkin bermanfaat kepada pesakit sirosis.

Soalan ulasan

Kami mengkaji manfaat dan kesan bahaya senaman fizikal berbanding dengan senaman palsu (contohnya, sesi relaksasi yang diawasi) atau tiada senaman untuk pesakit sirosis.

Tarikh carian

Febuari 2018.

Punca pembiayaan kajian

Tidak ada kajian yang dimasukkan menerima pembiayaan industri atau sokongan daripada industri farmaseutikal atau peralatan.

Ciri-ciri kajian

Kami telah masukkan enam kajian klinikal rawak terkawal (di mana pesakit dibahagi secara rawak kepada salah satu dari dua kumpulan) melibatkan 173 peserta. Kesemua peserta mempunyai sirosis. Intervensi meliputi jenis-jenis senaman yang berbeza termasuk berbasikal, berjalan kaki ‘treadmill’, dan angkat berat. Program-program dijalankan di rumah atau diawasi bagi tempoh antara lapan dan 14 minggu.

Keputusan-keputusan utama

Senaman fizikal dilihat tidak memberi kesan ke atas mortaliti (kematian), kesan-kesan sampingan atau kualiti kehidupan.

Kualiti bukti

Pada keseluruhannya, kualiti bukti bagi kesan senaman fizikal adalah rendah atau sangat rendah. Faktor-faktor yang menurunkan kualiti bukti termasuklah kurangnya kajian yang mempunyai risiko berat sebelah yang rendah, kajian bersaiz kecil dan keputusan yang berbeza antara kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information