Intervensi melalui telefon bimbit untuk membantu mematuhi pengambilan ubat untuk mencegah penyakit kardiovaskular.

Soalan ulasan

Kami mengkaji semula bukti mengenai kesan intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit untuk membantu orang ramai mengambil ubat mereka untuk mencegah penyakit kardiovaskular (contohnya, sakit jantung dan strok). Kami menemui empat kajian yang melibatkan 2429 peserta.

Latar belakang

Sekitar 17.6 juta orang meninggal dunia disebabkan oleh penyakit kardiovaskular setiap tahun. Ubat-ubatan boleh mencegah penyakit kardiovaskular; tetapi, ramai yang diberi ubat-ubat ini tidak sentiasa atau konsisten mengambil ubat seperti yang dicadangkan. Ini bermakna ubat tidak akan berfungsi seperti yang sepatutnya untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit, contohnya prom dengan menghantar mesej, mungkin adalah cara kos rendah untuk membantu orang ramai mengambil ubat mereka seperti yang dicadangkan.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2017. Kami mendapati empat kajian yang menilai intervensi yang disampaikan sekurang-kurangnya sebahagian melalui telefon bimbt, yang membuat kajian susulan terhadap peserta sekurang-kurangnya 12 bulan.

Keputusan utama

Kami tidak boleh menggabungkan keputusan daripada empat kajian tersebut kerana intervensi-intervensi mereka adalah amat berbeza. Kajian-kajian tersebut mempunyai risiko bias yang tinggi dan keputusan intervensi adalah tidak konsisten apabila dibandingkan, oleh itu penyiasat-penyiasat tidak yakin terhadap keputusan kajian-kajian tersebut. Bukti mencadangkan bahawa intervensi yang disampaikan melalui telefon bimbit mungkin dapat membantu orang ramai mengambil ubat, tetapi manfaatnya adalah kecil, dan sesetengah kajian mendapati bahawa intervensi-intervensi ini tidak bermanfaat. Tidak ada bukti yang mencadangkan sebarang intervensi ini adalah bahaya. Keputusan kajian-kajian yang sedang dilaksanakan harus memberitahu kami kesan-kesan intervensi ini dengan lebih tepat, dan harus memberitahu sama ada mereka boleh dilaksanakan dalam konteks yang lebih luas julatnya, termasuk negara-negara berpendapatan rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Ernie Yap Sze Wei. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi teoh.ru@ummc.edu.my

Tools
Information
Share/Save