Memberikan asid folik untuk mengurangkan ketoksikan arsenik pada kanak-kanak dan orang dewasa yang terdedah kepada arsenik

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Arsenik ialah toksin persekitaran biasa yang menjejaskan lebih 140 juta orang di seluruh dunia. Pendedahan arsenik jangka panjang, melalui pengambilan air minuman dan makanan yang tercemar dengan arsenik, meningkatkan risiko neurotoksisiti (kerosakan pada otak atau sistem saraf), lesi kulit, kecacatan kelahiran, kanser, dan perkembangan otak terjejas pada kanak-kanak. Asid folik boleh mengurangkan ketoksikan arsenik dengan membantu mengeluarkan arsenik daripada badan, sekali gus mengurangkan jumlah arsenik dalam darah. Kajian ini menilai kesan pemberian asid folik kepada orang ramai melalui suplemen oral, makanan yang diperkaya, atau kedua-duanya, terhadap hasil kesihatan yang berkaitan dengan arsenik dan ketoksikan arsenik pada orang dewasa dan kanak-kanak.

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada pemberian asid folik kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang terdedah kepada arsenik mengurangkan ketoksikan arsenik.

Mesej utama

Suplemen asid folik boleh mengurangkan kepekatan arsenik darah, dan menjadikannya lebih mudah untuk menyingkirkan arsenik melalui air kencing, pada orang dewasa yang terdedah kepada arsenik berbanding plasebo (iaitu pil sulih). Ini menunjukkan bahawa mengambil suplemen asid folik boleh mengurangkan ketoksikan arsenik pada orang dewasa yang terdedah kepada arsenik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis ulasan mendapati dua kajian terkawal rawak (RCT), dengan 822 orang dewasa, dijalankan di Bangladesh, yang menilai kesan pengambilan suplemen asid folik pada kepekatan arsenik dan homosistein (penanda keradangan dan kekurangan folat) dalam plasma, darah, dan air kencing. Kedua-dua RCT dibiayai oleh program kerajaan. Salah satu RCT juga menilai kesan suplemen asid folik serta suplemen nutrien lain yang dipanggil kreatina. Tiada kajian melaporkan data tentang kanser, kematian semua sebab, fungsi neurokognitif, atau anomali kongenital.

Keputusan daripada kajian-kajian ini menunjukkan bahawa mengambil suplemen asid folik, secara bersendirian atau digabungkan dengan nutrien lain, mungkin mengurangkan kepekatan arsenik darah dan homosistein plasma, dan berpotensi meningkatkan profil metilasi arsenik kencing (ukuran ketoksikan arsenik) pada orang dewasa yang telah terdedah kepada air minuman yang tercemar dengan arsenik, berbanding plasebo.

Pengulas menilai kedua-dua RCT sebagai risiko bias yang rendah. Pengulas menilai kepastian bukti sebagai sederhana untuk semua hasil yang dimasukkan di dalam perbandingan suplemen asid folik sahaja dengan plasebo, dan rendah untuk semua hasil yang dimasukkan di dalam perbandingan suplemen asid folik serta suplemen nutrien lain dengan suplemen nutrien sahaja. Pengulas menurunkan gred kepastian bukti kerana bilangan kajian yang kecil. Ini bermaksud bahawa keputusan mungkin berubah dengan penyelidikan yang lebih lanjut.

Ulasan menekankan keperluan untuk lebih banyak penyelidikan dalam menilai kesan asid folik pada hasil kesihatan yang berkaitan dengan arsenik dan ketoksikan arsenik pada orang dewasa dan kanak-kanak.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga September 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Ahmad FIlza Ismai (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information