Implantasi lensa trifokal berbanding bifokal selepas pembedahan katarak

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengkaji sama ada implantasi lensa yang mengandungi tiga bahagian yang membetulkan penglihatan jauh, pertengahan, dan dekat (trifokal) ke mata semasa pembedahan katarak adalah berbeza daripada lensa yang mengandungi dua bahagian yang membetulkan penglihatan jauh dan dekat (bifokal), berhubung dengan keberkesanan dan keselamatan dalam kalangan peserta dengan katarak.

Mesej utama
Terdapat bukti berkepastian rendah bahawa orang yang menerima lensa trifokal selepas pembedahan katarak mungkin mengalami peningkatan ketajaman penglihatan pertengahan yang tidak dibetulkan (ketajaman penglihatan) pada satu tahun berbanding dengan mereka yang menerima lensa bifokal. Walau bagaimanapun, tiada bukti perbezaan antara lensa intraokular trifokal dan bifokal untuk ketajaman penglihatan jauh yang tidak dibetulkan, ketajaman penglihatan dekat tidak dibetulkan, dan ketajaman penglihatan jauh yang dibetulkan paling baik pada satu tahun. Kesannya terhadap kualiti hidup dan keupayaan untuk membezakan antara kenaikan cahaya dan gelap yang kecil (kepekaan kontras) masih tidak dapat dipastikan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Presbiopia adalah keadaan lensa mata berkaitan usia yang menyebabkan kehilangan keupayaan secara beransur-ansur untuk fokus kepada objek berdekatan. Perubahan lensa berkaitan usia yang lebih lanjut mungkin menyebabkan kehilangan kejelasan lensa (katarak) menyebabkan kehilangan ketajaman penglihatan dan kepekaan kontras. Lensa dengan tiga atau dua bahagian (masing-masing trifokal atau bifokal) adalah teknologi baru yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan cermin mata selepas pembedahan katarak.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ulasan ini menyertakan lima kajian yang dijalankan di Eropah dengan jumlah 175 peserta.

Kami mendapati implantasi lensa trifokal pada masa pembedahan katarak mungkin meningkatkan ketajaman penglihatan pertengahan pada satu tahun; kepastian tentang bukti adalah rendah. Perbandingan lensa trifokal berbanding bifokal menunjukkan tiada bukti bagi perbezaan berkenaan ketajaman penglihatan jauh yang tidak dibetulkan, ketajaman penglihatan dekat yang tidak dibetulkan, dan ketajaman penglihatan jauh yang dibetulkan paling baik pada satu tahun; kepastian tentang bukti adalah rendah. Tidak dapat dipastikan sama ada implantasi lensa trifokal berbanding bifokal mempunyai sebarang kesan terhadap kualiti hidup dan kepekaan kontras.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Kami mencari kajian yangtelah diterbitkan sehingga 26 September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save