Program kebersihan oral untuk orang dengan kehilangan upaya intelektual

Soalan ulasan

Berapa berkesankah program kebersihan oral untuk orang dengan kehilangan upaya intelektual (ID)?

Latar belakang

Penyingkiran plakgigi dengan memberus gigi harian memainkan peranan besar dalam pencegahan kerosakan gigi dan penyakit gusi, dua penyebab utama kehilangan gigi. Memberus gigi merupakan kemahiran yang mungkin usah untuk orang dengan ID; mereka mungkin memerlukan bantuan dan penjaga mereka mungkin memerlukan latihan untuk membantu mereka.

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari kajian sehingga 4 Februari 2019. Ulasan ini memasukkan 34 kajian yang menyertakan 1795 orang dengan ID dan 354 penjaga. Sembilan belas kajian membahagikan peserta secara rawak kepada dua atau lebih banyak kumpulan [iaitu kajian rawak terkawal (RCT), dan 15 merupakan kajian bukan rwak (NRS)].

Kajian-kajian tersebut menilai pelbagai cara untuk menambahbaik kebersihan oral mereka dengan ID: berus gigi manual istimewa; berus gigi elektrik; latihan kebersihan oral untuk penjaga; latihan kebersihan oral untuk orang dengan ID; mempelbagaikan selang jadual antara lawatan pergigian dan penyeliaan pemberusan gigi; menggunakan perbincangan gambar klinikal sebagai dorongan; mempelbagaikan kekerapan gigi orang dengan ID diberus; menggunaakan agen pendedahan plak dan menggunakan pelan penjagaan mulut individu.

Kajian-kajian tersebut menilai leradangan gusi (gusi merah dan bengkak) dan plak. Sesetengah kajian menilai pengetahuan penjaga, kelakuan, sikap dan keberkesanan kendiri (kepercayaan dengan kebolehan mereka) dari segi kebersihan oral, dan juga kelakuan dan kemahiran kebersihan oral untuk orang dengan ID. Kerosakan gigi dan kualiti hidup tidak diukur. Pengulas mengumpulkan kajian berdasarkan kepada jangka waktu hasil kajian dinilai: jangka pendek (kurang daripada enam minggu), jangka sederhana (antara enam minggu dan12 bulan) dan jangka panjang (lebih daripada 12 bulan).

Keputusan utama

Berus gigi manual istimewa (Superbrush), yang digunakan oleh penjaga, mungkin lebih baik dalam mengurangkan tahap keradangan gusi dan mungkin juga plak dalam kalangan orang dengan ID daripada berus gigi manual biasa dalam jangka masa sederhana, namun ini tidak ditemui untuk jangka masa pendek.

Pengulas menemui tiada perbezaan antara berus gigi elektrik dan manual yang digunakan oleh orang dengan ID atau penjaga mereka dari segi keradangan gusi atau plak dalam jangka masa sederhana, dan keputusan untuk jangka masa pendek adalah tidak jelas.

Melatih penjaga untuk memberus gigi orang dengan ID mungkin menambahbaik pengetahuan kebersihan oral penjaga dalam jangka masa sederhana.

Melatih orang dengan ID untuk memberus gigi mereka sendiri mungkin mengurangkan jumlah plak atas gigi mereka untuk jangka masa pendek.

Lawatan pergigian berjadual yang kerap dan penyeliaan memberus gigi oleh penjaga di antara lawatan mungkin lebih berkesan daripada penjagaan biasa untuk mengurangkan keradangan gusi dan plak untuk jangka masa panjang.

Membincangkan gambar klinikal plak pada gigi peserta yang ditunjukkan oleh agen pendedah, untuk mendorong mereka untuk memberus gigi dengan lebih baik tidak nampak dapat mengurangkan plak.

Memberus gigi harian oleh pelajar pergigian mungkin lebih berkesan untuk mengurangkan tahap plak untuk jangka masa pendek daripada pemberusan gigi profesional sekali atau dua kali setiap minggu.

Ubat gigi dengan agent pendedah plak dan pelan penjagaan mulut individu dinilai dalam satu kajian bukan rawak yang mencadangkan bahawa mereka mungkin berfaedah.

Hanya satu kajian menilai kesan sampingan negatif secara formal; namun, kebanyakan kajian mencadangkan bahawa mereka tidak wujud. Sesetengah kajian menjumpai bahawa sesetengah orang mempunyai kesukaran dengan berus gigi elektrik atau manual istimewa.

Kepastian bukti

Walaupun sesetengah intervensi kebersihan oral untuk orang dengan ID menunjukkan manfaat secara bukti santifik, namun maksud manfaat tersebut sama ada untuk kebersihan oral atau kesihatan oral adalah tidak jelas. Kepastian bukti adalah rendah atau sangat rendah jadi penyelidikan masa depan mungkin mengubah penemuan pengulas nanti. Bukti berkepastian sederhana wujud untuk hanya satu penemuan: berus gigi elektrik dan manual adalah besar kemungkinan sama berkesan dalam mengurangkan keradangan gusi dalam kalangan orang dengan ID untuk jangka masa sederhana. Penyelidikan yang lebih banyak dan lebih baik adalah diperlukan untuk menilai intervensi yang menunjukkan kebolehan untuk menambahbaik kebersihan oral dalam kalangan orang dengan ID, dan untuk mengenal pasti intervensiyang tidak berkesan. Pada masa sekarang, perubahan terhadap tabiat semasa berdasarkan ulasan ini patut dibuat dengan berhati-hati, dan keputusan mengenai penjagaan kebersihan oral patut berdasarkan kepakaran profesional serta keperluan dan pilihan orang dengan ID dan penjaga mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save