Silodosin untuk rawatan gejala saluran kencing yang lebih rendah pada lelaki dengan hiperplasia prostat yang tidak berbahaya

Soalan ulasan

Adakah silodosin meningkatkan gejala saluran kencing yang mengganggu pada lelaki dengan prostat yang membesar?

Latar belakang

Pembesaran prostat adalah perkara biasa pada lelaki ketika mereka berumur dan boleh menyebabkan kesukaran membuang air kecil seperti aliran lemah, bangun pada waktu malam dan perasaan tidak mengosongkan pundi kencing sepenuhnya. Silodosin adalah ubat baru yang dapat membantu mengatasi gejala-gejala ini dan boleh menyebabkan sedikit kesan ubat yang tidak diingini. Kami melakukan ulasan ini untuk membandingkan silodosin dengan plasebo (ubat palsu) dan ubat lain.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 19 kajian dengan 4295 lelaki. Purata umur peserta adalah 66.5 tahun. Semua kajian melibatkan lelaki berusia lebih dari 40 tahun dan melaporkan bahawa secara purata lelaki-lelaki ini mempunyai gejala kencing yang sederhana menggangu.

Keputusan utama

Silodosin dapat memperbaiki gejala kencing berbanding dengan plasebo. Ia mungkin mempunyai kesan yang setanding dengan gejala kencing, kualiti hidup, pemberhentian rawatan dengan sebab apa pun, dan kesan ubat yang tidak diingini berbanding dengan ubat lain. Walau bagaimanapun, silodosin berkemungkinan meningkatkan kesan sampingan seksual yang tidak diingini berbanding dengan plasebo dan ubat lain.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi kebanyakan hasil adalah rendah. Ini bermakna kesan sebenar mungkin berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save