Ubat seperti morfin untuk nyeri kanser

Kesimpulannya

Kira-kira 19 daripada 20 orang dengan nyeri kanser sederhana hingga teruk, ubat-ubatan seperti morfin (opioid) mungkin boleh mengurangkan kesakitan ke sederhana atau tidak sakit dalam tempoh 14 hari jika mereka boleh menahan kesan-kesan sampingan. Kebanyakan orang mempunyai kesan sampingan, dan kira-kira 1 dalam 10 hingga 2 dalam 10 akan perlu menukar rawatan disebabkan oleh kesan-kesan sampingan.

Latar belakang

Seorang dalam dua atau tiga orang yang mendapat kanser akan mengalami kesakitan intensiti sederhana atau teruk. Kesakitan akan menjadi lebih buruk apabila kanser merebak. Morfin yang diambil melalui mulut telah digunakan sejak tahun 1950-an untuk mengawal nyeri kanser. Pada tahun 1986, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggambilan ubat seperti morfin untuk nyeri kanser sederhana hingga teruk. Terdapat beberapa ubat-ubatan yang sedia ada, sesetengah diambil melalui mulut, tetapi yang lainnya diaplikasi dalam bentuk tampalan.

Ciri-ciri kajian

Dalam gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane ini, kami menilai semua bukti mengenai cara ubat seperti morfin bertindak, kebanyakannya apabila diambil melalui mulut atau melalui tampalan di kulit, berapa ramai orang mempunyai kesan sampingan, dan berapa teruk atau menyusahkan kesan-kesan sampingan tersebut — contohnya, sama ada ia membuat peserta berhenti mengambil ubat.

Pada Mei 2017, kami mendapati sembilan ulasan dengan 152 kajian dan 13,524 peserta. Kerapkali kajian-kajian adalah kecil, dan membandingkan pelbagai persediaan. Mereka menggunakan reka bentuk kajian dan cara yang berbeza untuk menunjukkan keputusan kajian mereka. Hasil penting untuk orang dengan nyeri kanser sering tidak dilaporkan.

Keputusan utama

Untuk dua ubat (morfin melalui mulut dan tampalan fentanyl) lebih daripada 19 dalam 20 orang mengalami kesakitan yang sederhana atau teruk sebelum mengambil ubat-ubatan seperti morfin, hingga sakit yang ringan dalam tempoh 14 hari jika mereka boleh menahan kesan-kesan sampingan. Kebanyakan orang yang mengambil ubat seperti morfin mempunyai sekurang-kurangnya satu kesan sampingan. Hanya kira-kira 1 dalam 10 ke 2 dalam 10 orang berhenti mengambilnya kerana kesan-kesan sampingan. Kesan sampingan yang paling lazim ialah sembelit, dan loya dan muntah.

Kualiti bukti

Pada satu peringkat ini adalah memberangsangkan, dan secara umumnya bersetuju dengan cara nasihat kaji selidik WHO berkesan dalam nyeri kanser. Pada tahap lain, kualiti kajian dalam ulasan-ulasan tersebut adalah pada amnya lemah. Kami memerlukan reka bentuk kajian yang lebih baik, terutamanya laporan kajian yang lebih baik, yang sepatutnya memasukkan hasil pengurangan sakit ke satu tahap di mana penghidap kanser boleh mengendalinya (tanpa sakit atau sakit yang ringan ).

Kami mendapati bahawa Ulasan Cochrane adalah berkualiti tinggi.

Kami menilai kualiti bukti daripada kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud bahawa kami tidak pasti mengenai keputusan dalam kajian tersebut. Bukti yang berkualiti tinggi bermaksud bahawa kami sangat yakin terhadap keputusan kajian tersebut. Kami menilai bukti dalam ulasan ini sebagai berkualiti sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information