Untuk terus mengambil atau berhenti mengambil ubat antiplatelet selama beberapa hari sebelum pembedahan selain jantung dikalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Kami ingin tentukan sama ada meneruskan pengambilan ubat antiplatelet sebelum pembedahan selain jantung yang memerlukan anestesia am, spinal atau bahagian tertentu meningkatkan risiko mengalami pendarahan yang serius, kejadian iskemia atau kematian dikalangan orang dewasa, jika dibandingkan dengan berhenti mengambil ubat antiplatelet untuk sekurang-kurangnya lima hari sebelum pembedahan selain jantung.

Latar belakang

Ubat antiplatelet seperti aspirin atau clopidogrel mengurangkan risiko pesakit mengalami pembentukan darah beku di dalam salur darah, dan rutinnya diberikan kepada pesakit yang telah dimasukkan ‘stent’ koronari. Ianya juga disyorkan untuk penghidap angina yang tidak stabil atau sakit jantung, atau orang yang pernah mengalami serangan jantung, membuat pembedahan jantung atau strok. Pengambilan terapi antiplatelet meningkatkan risiko pendarahan, yang mungkin membawa kepada masalah jika pesakit tersebut memerlukan pembedahan selain jantung. Pemberhentian terapi antiplatelet beberapa hari sebelum pembedahan mungkin boleh mengurangkan risiko pendarahan yang serius semasa pembedahan. Tidak mengambil ubat antiplatelet ini boleh, bagaimanapun, meningkatkan risiko serangan jantung, strok, atau kematian.

Ciri-ciri kajian

Bukti dari kajian rawak terkawal adalah sehingga Januari 2018. Kami masukkan lima kajian yang melibatkan 666 orang dewasa dalam ulasan. Tiga kajian masih dijalankan. Semua peserta sedang mengambil ubat antiplatelet (aspirin atau clopidogrel) di masa permulaan kajian. Dua kajian menghentikan ubat antiplatelet untuk sekurang-kurangnya lima hari sebelum pembedahan, dan tiga kajian telah memberikan peserta plasebo menggantikan ubat antiplatelet dalam masa tersebut.

Keputusan utama

Kami mendapati bukti berkepastian rendah samada penerusan atau pemberhentian terapi antiplatelet mungkin memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada bilangan orang yang meninggal sehingga 30 hari atau enam bulan selepas pembedahan (lima kajian, 659 peserta). Kami mendapati bukti berkepastian sederhana samada penerusan atau pemberhentian terapi antiplatelet mungkin memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada insiden pendarahan yang serius sehingga memerlukan transfusi darah semasa ataupun sebaik selepas pembedahan (empat kajian, 368 peserta). Kami mendapati bukti berkepastian rendah samada penerusan atau pemberhentian terapi antiplatelet mungkin memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada pendarahan yang serius sehingga memerlukan pembedahan seterusnya (empat kajian, 368 peserta), dan mungkin memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada bilangan kejadian iskemia seperti strok atau serangan jantung (empat kajian, 616 peserta).

Kualiti bukti

Beberapa kajian mempunyai risiko bias yang rendah kerana mereka dengan jelasnya telah melaporkan kaedah mereka untuk merawakkan peserta kepada setiap kumpulan, dan tiga kajian telah menggunakan agen plasebo supaya peserta tidak mengetahui samada mereka masih meneruskan ataupun tidak ubat antiplatelet mereka yang biasa. Walau bagaimanapun, kami mendapati sebilangan kecil kajian mempunyai kejadian yang sedikit, dengan keputusan yang mempunyai variasi yang besar. Untuk terus mengambil ataupun berhenti mengambil ubat antiplatelet beberapa hari sebelum pembedahan selain jantung mungkin memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada bilangan orang yang mati, yang mengalami pendarahan yang memerlukan pembedahan seterusnya atau mereka yang mengalami kejadian iskemia, dan ia mungkin memberikan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada pendarahan yang memerlukan transfusi darah. Kami menemui tiga kajian yang masih dijalankan yang mungkin akan menambah kepastian kepada kesan dalam pengemaskinian ulasan pada masa hadapan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my. Disunting Rosnani binti Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information