Ubat faktor nekrosis anti-tumor untuk merawat bengkak di bahagian belakang mata (edema makula) akibat penyakit radang mata (uveitis)

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada kelas ubat yang baru (agen anti-tumor nekrosis) berkesan dalam merawat bengkak di bahagian belakang mata (edema makula) yang disebabkan oleh keradangan pada mata (uveitis). Penulis Ulasan Cochrane mencari semua kajian yang berkaitan untuk menjawab persoalan ini, tetapi tidak menemui kajian yang sesuai untuk dimasukkan.

Mesej-mesej utama
Tidak ada bukti untuk menyokong atau menentang penggunaan agen faktor nekrosis anti-tumor dalam rawatan edema makula pada uveitis.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Uveitis adalah kumpulan keadaan mata di mana terdapat keradangan dalam mata. Sekiranya terdapat keradangan di bahagian belakang mata (makula) ini boleh menyebabkan pembengkakan (edema makula). Edema makula boleh menyebabkan kehilangan penglihatan,

Uveitis sering dirawat dengan steroid untuk mengawal keradangan dan mengelakkan kerosakan pada mata. Tetapi steroid mempunyai kesan sampingan yang berpotensi serius, dan doktor tidak mengesyorkan penggunaan jangka panjang. 'Agen penjimatan steroid' adalah ubat dengan kesan anti-radang yang serupa dengan steroid, tetapi dengan kesan sampingan yang sedikit. Ia lebih disukai apabila orang dengan uveitis memerlukan rawatan jangka panjang. Agen faktor nekrosis anti-tumor adalah jenis agen penjimatan steroid yang baru. Ia telah digunakan untuk keadaan lain. Penyelidik Cochrane ingin mengetahui sama ada agen ini berguna dalam rawatan edema makula pada uveitis.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Penulis Ulasan Cochrane mencari beberapa pangkalan data elektronik untuk mengkaji penggunaan ubat-ubatan faktor nekrosis anti-tumor dalam edema makular akibat uveitis. Mereka tidak menemui kajian yang relevan. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini berkesan dalam mengawal keradangan pada mata, tetapi tidak ada yang meneliti edema makula secara khusus. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membantu membuat keputusan yang tepat di kawasan ini.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?
Penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 29 Mac 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information