Terapi muzik untuk pesakit gangguan penggunaan bahan terlarang

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami menyasarkan untuk menilai sama ada terapi muzik yang diberikan sebagai tambahan kepada penjagaan standard efektif untuk pesakit penggunaan bahan terlarang, dari segi memberi kesan kepada keinginan bahan terlarang, motivasi untuk rawatan dan motivasi untuk kekal sedar/bersih. Kami juga berminat dengan bukti tentang kesan ke atas depresi dan keresahan, kerana ini adalah faktor risiko untuk kambuh.

Mesej utama

Terapi muzik sebagai rawatan 'tambahan' kepada penjagaan standard mungkin mengurangkan keinginan bahan terlarang dan meningkatkan motivasi untuk rawatan untuk orang dewasa dalam persekitaran detoksifikasi dan pemulihan. Terapi muzik yang berlansung lebih lama daripada satu sesi dikaitkan dengan pengurangan yang lebih besar dalam keinginan bahan. Tiada bukti kesan pada gejala depresi, keresahan, motivasi untuk kekal sedar/bersih, atau pengekalan dalam rawatan. Tiada data tentang peristiwa buruk.

Mengapa penting untuk melakukan ulasan ini?

Ulasan ini boleh membantu menentukan sama ada terapi muzik mempunyai kesan bermanfaat ke atas aspek tertentu penggunaan bahan bermasalah dan motivasi untuk rawatan.

Apakah kajian ulasan ini?

Gangguan penggunaan bahan ialah penggunaan berterusan ubat-ubatan, sama ada ubat haram atau ubat preskripsi, dengan atau tanpa alkohol, walaupun bahan ini menyebabkan masalah kesihatan atau menjejaskan fungsi sosial secara negatif. Kira-kira 35 juta orang di seluruh dunia terlibat dalam penggunaan dadah yang bermasalah, dan lebih daripada tiga juta kematian setiap tahun dikaitkan dengan penggunaan alkohol yang berbahaya. Terapi muzik menangani keperluan mental dan badan pesakit yang menjalani rawatan penggunaan bahan, melalui penggunaan pelbagai bentuk penglibatan muzik yang aktif dan reseptif yang membolehkan pelbagai proses neurobiologi, psikologi dan sosial yang menggalakkan kesihatan. Ahli terapi muzik ialah ahli profesional kesihatan yang menggunakan intervensi muzik khusus untuk membantu pelanggan mereka mengurus emosi, mengatasi pencetus, mengalami penguasaan dan membentuk hubungan interpersonal yang sihat.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami memasukkan 21 kajian yang menyertakan 1984 orang. Semua peserta telah didiagnosis dengan gangguan penggunaan bahan terlarang, dengan 52% melaporkan alkohol sebagai bahan pilihan mereka. Dalam dua kajian, peserta mempunyai diagnosis kesihatan mental yang berlaku bersama. Semua kajian telah diselesaikan sama ada dalam persekitaran detoksifikasi atau fasiliti rawatan penggunaan bahan jangka panjang. Kajian membandingkan terapi muzik yang ditambahkan pada penjagaan standard dengan penjagaan standard sahaja atau jenis campur tangan lain yang akan menjadi bahagian tipikal rawatan untuk penggunaan bahan, seperti terapi lisan. Kualiti percubaan kajian yang dilakukan dan keputusan yang dilaporkan berbeza-beza, yang mempengaruhi keyakinan kami terhadap keputusan.

Penemuan kami mencadangkan bahawa terapi muzik yang ditambah kepada penjagaan standard berkemungkinan mengurangkan keinginan bahan terlarang jika dibandingkan dengan penjagaan standard sahaja untuk orang yang mengalami masalah penggunaan bahan terlarang yang menerima rawatan dalam tetapan detoksifikasi dan pemulihan jangka pendek. Intervensi terapi muzik yang berlangsung lebih lama daripada satu sesi dikaitkan dengan pengurangan yang lebih besar dalam keinginan. Tambahan pula, terapi muzik berkemungkinan meningkatkan motivasi untuk rawatan/perubahan lebih daripada penjagaan standard sahaja, dan mungkin meningkatkan motivasi untuk rawatan/perubahan lebih daripada rawatan aktif lain. Kami tidak menemui bukti kesan terapi muzik pada gejala kemurungan, kebimbangan dan motivasi untuk kekal sedar/bersih.

Kami mempunyai keyakinan rendah hingga sederhana dalam penemuan kami, dan berhati-hati bahawa mungkin sukar untuk memindahkan penemuan kami ke persekitaran lain, kerana kebanyakan kajian dijalankan oleh penyelidik yang sama dalam unit detoksifikasi yang sama.

Kami tahu bahawa keinginan bahan berkurangan dengan lebih baik apabila terdapat lebih daripada satu sesi terapi muzik, tetapi kami tidak tahu sama ada bilangan sesi terapi muzik yang diterima memberi kesan kepada hasil yang lain. Selain itu, kami tidak tahu sama ada satu bentuk terapi muzik berfungsi lebih baik daripada yang lain untuk hasil-hasil ini.

Hanya satu kajian melaporkan sumber pendanaan (Program R&D Utama Negara China, pembiaya utama).

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti ini adalah terkini hingga 1 Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Saw Zhi Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information