Penggunaan alat pembaikan saraf di lengan, lengan bawah, dan tangan

Apakah kecederaan saraf dan bagaimana saraf ini diperbaiki?

Kecederaan pada saraf lengan, lengan bawah dan tangan adalah perkara biasa dan mempunyai kesan yang berkekalan terhadap keupayaan seseorang untuk bergerak dan sensorinya. Biasanya pakar bedah menjahit saraf yang cedera (kami panggil pembaikan standard ini). Kadang-kadang mereka juga menggunakan cantuman saraf, yang bermaksud dengan mengambil saraf dari kawasan badan yang lain untuk merapatkan jurang antara hujung saraf yang rosak. Kaedah pembaikan standard tidak selalu berjaya dan walaupun berjaya, proses penyembuhan boleh menjadi tidak lengkap dan perlahan. Saraf yang diperoleh untuk cantuman memerlukan pembedahan tambahan dan boleh menyebabkan ketidakselesaan. Jenis pembaikan saraf lain melibatkan penggunaan pembalut (peranti yang digunakan untuk menyokong pembaikan saraf), atau saluran (peranti yang digunakan untuk merapatkan jurang). Pelbagai pembalut dan saluran pembaikan saraf semulajadi dan sintetik disediakan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin membandingkan pembaikan saraf yang cedera menggunakan pembalut atau saluran dengan pembaikan standard (ada atau tanpa cantuman saraf). Kami amat berminat dengan sejauh mana kekuatan otot dan sensori seseorang kembali, dan kekerapan mereka mengalami masalah (komplikasi) daripada pembedahan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Penulis ulasan telah mengumpul semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemukan lima kajian. Saraf mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan untuk tumbuh semula selepas pembedahan, jadi kami hanya memasukkan kajian yang mengukur kesan pembedahan daripada 12 bulan selepas kecederaan.

Apakah yang kami temui?

Kajian itu melibatkan 213 orang dengan 257 kecederaan saraf. Konduit atau pembalut ('peranti') digunakan untuk 129 kecederaan dan pembaikan standard untuk 128 kecederaan. Empat kajian berlaku di Eropah dan satu lagi di Amerika Syarikat. Dua kajian telah ditaja oleh syarikat yang membuat peranti itu, mencerminkan potensi sumber berat sebelah.

Cabaran yang diketahui dalam kajian pembaikan saraf adalah kekurangan satu ukuran yang boleh dipercayai untuk menilai kesan rawatan (ukuran hasil). Kami mendapati bahawa kajian dalam ulasan menggunakan pelbagai ukuran dan kaedah hasil yang berbeza, yang menjadikannya sukar untuk dibandingkan.

Keputusan utama dan kepastian bukti

Terdapat kemungkinan sedikit atau tiada perbezaan dalam gred pemulihan sensori terhadap orang yang mengalami kecederaan saraf 24 bulan atau lebih selepas pembaikan saraf menggunakan peranti berbanding pembaikan standard tetapi buktinya sangat tidak pasti (1 percubaan, 28 peserta). Kaedah lain yang digunakan untuk menguji sensori sentuhan tidak selalu cukup baik untuk mengukur pemulihan. Kajian tidak melaporkan kekuatan otot (mengikut penggredan Majlis Penyelidikan Perubatan British) 24 bulan selepas pembedahan. Keputusan menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi anggota atas 24 bulan selepas pembaikan saraf dengan peranti berbanding pembaikan standard (2 percubaan, 60 orang). Lima tahun selepas rawatan, fungsi anggota atas mungkin lebih baik sedikit selepas menggunakan peranti berbanding pembaikan standard, tetapi ini sangat tidak pasti.

Kami tidak menemui kajian yang membenarkan orang ramai melaporkan perasaan mereka tentang kesan pembedahan berhubung dengan aktiviti dan keperluan mereka.

Lebih banyak komplikasi mungkin berlaku dengan penggunaan balutan dan saluran, dan pembedahan mungkin perlu dibuat semula lebih kerap daripada selepas pembaikan saraf standard walaupun penemuan ini juga sangat tidak pasti. Terdapat keperluan untuk pembedahan yang tidak dirancang untuk mengeluarkan peranti kerana komplikasi dalam 12 daripada 129 peranti yang diletakkan; tiada satu pun daripada 127 pembaikan standard memerlukan semakan.

Ulasan ini tidak menemui bukti jelas manfaat kepada orang yang mengalami kecederaan saraf daripada penggunaan pembalut atau saluran ke atas pembaikan pembedahan standard tetapi buktinya sangat tidak pasti. Peranti pembaikan saraf boleh meningkatkan komplikasi dan keperluan untuk operasi lain walaupun bukti ini juga tidak pasti.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak boleh membandingkan dengan pasti bahawa fungsi tangan atau saraf antara kajian, dan penemuan utama ulasan ini ialah kami memerlukan reka bentuk kajian yang standard. Kami memerlukan kajian yang terancang tentang peranti pembaikan saraf baharu untuk memaklumkan penggunaan masa depan yang selamat.

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information