Apakah manfaat dan risiko penggunaan antibiotik serta pembersihan oleh profesional penjagaan pergigian untuk merawat penyakit gusi?

Mengapa soalan ini penting?

Penyakit gusi adalah satu keadaan lazim di mana gusi membengkak, sakit atau dijangkiti. Ia disebabkan oleh bakteria yang terkumpul pada gusi dan gigi. Gusi yang berpenyakit mungkin berdarah ketika orang menggosok gigi, dan boleh menyebabkan bau mulut. Jika penyakit gusi tidak dirawat, gigi boleh menjadi longgar dan akhirnya terkeluar. Ini boleh mempengaruhi kemampuan seseorang untuk mengunyah dan bercakap. Ini juga boleh membuat orang merasa sedar kendiri tentang penampilan mereka.

Profesional penjagaan pergigian boleh membersihkan gigi dan gusi untuk membuang lebihan bakteria dari mulut. Mereka mengguna instrumen khas - biasanya, pengikis ultrasound diikuti dengan alat genggam khusus - untuk mengikis bakteria dari gigi, dan menghentikannya daripada mempengaruhi gusi.

Antibiotik (ubat yang membunuh bakteria) yang diambil melalui mulut (secara oral) boleh digunakan bersama dengan pembersihan profesional, untuk menghilangkan bakteria dari kawasan antara gigi dan gusi. Walau bagaimanapun, terdapat potensi risiko yang berkait dengan antibiotik, seperti reaksi alergi dan ketahanan antibiotik (perubahan bakteria setelah terdedah kepada antibiotik, yang membolehkan bakteria bertahan rawatan antibiotik pada masa depan).

Kami membuat ulasan bukti dari kajian penyelidikan untuk mengetahui tentang manfaat dan risiko penggunaan antibiotik bersama dengan pembersihan gigi profesional untuk merawat penyakit gusi. Kami juga ingin tahu jika sesetengah antibiotik berfungsi lebih baik daripada yang lain dalam keadaan ini.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana kajian-kajian ini memberi bukti paling kuat tentang kesan rawatan. Kami kemudian membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhir sekali, kami menilai keyakinan terhadap bukti itu, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi keputusan merentasi semua kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 45 kajian melibatkan sejumlah 2664 orang berumur 18 tahun ke atas yang menghidap penyakit gusi. Kajian-kajian membandingkan pembersihan profesional dan antibiotik dengan pembersihan profesional sahaja, atau membandingkan antibiotik yang berbeza bersama dengan pembersihan profesional antara satu sama lain.

Kami tidak dapat menyatakan sama ada antibiotik mengurangkan penyakit gusi dalam jangka panjang (satu tahun atau lebih selepas rawatan), atau sama ada sesetengah antibiotik lebih baik daripada yang lain. Ini adalah kerana kami kurang yakin dengan bukti yang ditemui.

Kami tidak dapat menyatakan sama ada antibiotik dikaitkan dengan kesan tidak diingini, kerana sangat rendah keyakinan dengan bukti tersebut. Kesan tidak diingini yang lazim dilaporkan adalah gangguan gastrousus sementara, seperti loya, muntah, cirit-birit, atau rasa logam di mulut. Tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

Tiada kajian yang melaporkan tentang ketahanan antimikrob atau perubahan kualiti hidup orang.

Apakah maksudnya?

Kami tidak tahu sama ada:

- penggunaan antibiotik bersama pembersihan profesional bermanfaat untuk merawat penyakit gusi dalam jangka masa panjang (lebih dari satu tahun selepas rawatan);
- penggunaan antibiotik bersama pembersihan profesional dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini; atau
- sesetengah antibiotik lebih baik berbanding yang lain untuk merawat penyakit gusi di samping pembersihan profesional.

Keyakinan kami sangat rendah terhadap bukti sedia ada. Hasil ulasan kami mungkin berubah jika ada lebih banyak bukti. Kajian masa depan harus menentukan dengan jelas apa yang memenuhi syarat pembaikan penting minima dalam penyakit gusi.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information