Betapa tepatnya teknik imej PET dan MRI dalam menentukan kesesuaian pembedahan pendahuluan utama dalam kanser ovari?

Kenapa penting untuk menentukan kesesuaian pembedahan tumor ovari?
Kanser ovari ialah penyakit yang mempunyai kadar kematian yang tinggi yang menjejaskan 239,000 orang wanita setiap tahun di seluruh dunia. Pada masa itu gejala dapat dikesan, sel-sel kanser telah tersebar ke seluruh abdomen dalam kebanyakan wanita. Rawatan terdiri daripada pembedahan untuk mengeluarkan tumor sebanyak mungkin (juga dikenali sebagai pembedahan debulking) dan kemoterapi. Percubaan terkawal secara rawak telah menunjukkan bahawa bagi wanita yang semua kanser yang kelihatan tidak boleh dikeluarkan dengan pembedahan, rawatan kemoterapi diberikan terlebih dahulu untuk mengecilkan tumor sebagai strategi rawatan alternatif. Hal ini boleh meningkatkan bilangan wanita yang berjaya menyingkirkan semua tumor yang jelas, yang dikenali sebagai pembedahan debulking makroskopik. Oleh sebab itu, hal ini amat penting untuk menentukan sama ada semua deposit tumor yang boleh dikesan boleh dikeluarkan dengan pembedahan terlebih dahulu, diikuti dengan kemoterapi, atau jika kemoterapi diperlukan terlebih dahulu untuk mengurangkan saiz tumor sebelum pembedahan dijalankan.

Pengimejan dengan tomografi computed perut (CT perut) kini digunakan untuk menentukan sama ada pembedahan pendahuluan utama boleh dilakukan. Walau bagaimanapun, hal ini tidak dapat menentukan keputusan dalam kalangan semua wanita dengan betul. Teknik pengimejan yang lain yang boleh digunakan ialah tomografi pelepasan positron (PET) dan pencitraan resonans magnetik (MRI). PET menggambarkan pengambilan glukosa oleh sel dan membenarkan pengesanan metastasis yang jauh dan sering dilakukan selari dengan CT perut (FDG-PET / CT). MRI memberikan kontras tisu yang baik untuk mengesan kecederaan yang kecil. Teknik pengimejan tambahan ini boleh meningkatkan pilihan rawatan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menyiasat ketepatan PET dan MRI dalam wanita yang mengalami kanser ovarium peringkat lanjut untuk menentukan kelayakan pembedahan pendahuluan utama.

Apakah keputusan-keputusan utama dalam kajian ini?

Kami mengenal pasti dua kajian (dengan 366 orang peserta) yang menangani ketepatan FDG-PET / CT dan tiga kajian (dengan 178 orang peserta) yang menyiasat ketepatan MRI.

Dalam kumpulan hipotesis 1000 orang wanita, 620 daripadanya akan mengalami tumor residual selepas pembedahan (prevalensi 62%), 211 orang wanita akan salah dianggap sesuai untuk pembedahan berdasarkan FDG-PET / CT dan 37 orang wanita berdasarkan MRI. Walau bagaimanapun, kualiti dan kuantiti kajian ini tidak cukup untuk mencadangkan penggunaan teknik pengimejan ini secara amali dalam amalan klinikal. Oleh sebab itu, penulis menyimpulkan bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan sebelum cadangan tersebut dapat dibuat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information