Ketepatan diagnostik jumlah serum asid hempedu atau asid hempedu individu untuk intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan dalam wanita yang mengalami kegatalan teruk

Soalan ulasan
Untuk menilai dan membanding ketepatan diagnostik jumlah asid hempedu serum (TSBA) dan beberapa komponen serum profil asid hempedu bagi diagnosis intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan dalam wanita yang mula mengalami kegatalan teruk semasa hamil.

Latar belakang
'Ketepatan diagnostik' bermakna sejauh mana sesuatu ujian dapat mengenal pasti atau menyisih penyakit dengan betul dan seterusnya memaklumi keputusan yang akan dibuat mengenai rawatan. Intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan adalah gangguan fungsi hati yang spesifik semasa kehamilan, di mana hempedu (bendalir penghadaman) yang terkumpul di dalam hati merosakkan fungsi (intrahepar) hati. Intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan mungkin berkait dengan peningkatan risiko kelahiran pramatang dan kematian janin, yang kerap berlaku dalam minggu terakhir kehamilan. Ini menyebabkan ramai doktor memilih untuk membuat induksi kelahiran bayi yang lebih awal.

Secara klinikal, kehadiran kegatalan teruk semasa lewat kehamilan dan hasil ujian serum hati yang tidak normal yang ‘sebaliknya tidak dapat dijelaskan', kelihatan cukup untuk menyokong diagnosis intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan. Walau bagaimanapun, menyisih semua penyakit lain yang sedia ada tidak selalunya mudah; oleh itu pengesahan tentang diagnosis intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan mungkin hanya boleh dibuat selepas bersalin, di mana kebiasaannya kegatalan teruk hilang scara spontan dan keputusan ujian hati melalui pemeriksaan darah semakin baik.

Jumlah asid hempedu serum (TSBA) adalah penanda biologikal yang paling banyak digunakan bagi intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan dalam amalan klinikal. Sesetengah komponen dalam profil serum asid hempedu mungkin dapat memberi maklumat yang lebih spesifik berbanding jumlah serum asid hempedu dalam membuat diagnosis penyakit tersebut, menentukan tahap keterukan dan pemantauan tindak balas kepada rawatan.

Ciri-ciri Kajian
Kajian ini mengambil kira semua bukti daripada kajian-kajian yang menilai ketepatan diagnostik jumlah serum asid hempedu (TSBA) dan mana-mana komponen profil serum asid hempedu untuk intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan dalam wanita yang mempunyai kegatalan teruk yang bermula semasa mengandung.

Kami telah menilai semua laporan sedia ada secara meluas dan sistematik melalui pencarian pangkalan data mengenai kajian perubatan tanpa mengira reka bentuk, status penerbitan, bahasa, dan reka bentuk kajian. Akhirnya, kami memasukkan 16 kajian, di mana sebahagian besar daripadanya membuat penilaian terhadap ketepatan (sensitiviti dan spesifisiti) TSBA dengan had kepekatan 10 μmol/L. Kebanyakan kajian mempunyai reka bentuk kes kawalan, dan kajian-kajian ini mempunyai kemungkinan membuat anggaran yang berlebihan dalam ketepatan diagnostik.

Keputusan-keputusan utama
Apabila mengambil kira kajian-kajian dengan had kepekatan 10 μmol/L untuk TSBA serum, sensitiviti keseluruhan TSBA (keupayaan untuk mengenal pasti wanita yang mempunyai penyakit itu dengan betul) adalah dari 72% hingga 98% dan spesifisiti (keupayaan untuk mengenal pasti wanita yang tidak mempunyai penyakit tersebut dengan betul) adalah dari 81% hingga 97%. Walau bagaimanapun, selepas melakukan dua analisis yang berbeza tanpa memasukkan kajian-kajian dengan keputusan yang kurang dipercayai, ketepatan diagnostik kelihatan lebih rendah. Kami mengira ketepatan keseluruhan termasuk beberapa komponen serum profil asid hempedu, tetapi bilangan kajian yang kecil dan kepelbagaian yang tinggi dari keputusan yang diperolehi menyebabkan data yang sangat tidak tepat.

Kualiti bukti
Hanya salah satu daripada 16 kajian yang dimasukkan telah dilakukan dan dilaporkan dengan baik (risiko berat sebelah yang rendah). 15 kajian yang selebihnya mempunyai masalah dengan reka bentuk kajian atau laporan kajian (risiko berat sebelah yang tinggi). Hanya lima kajian yang dilihat menunjukkan kebimbangan yang rendah dalam aplikasi hasil keputusan dalam amalan klinikal.

Kesimpulan
Risiko berat sebelah yang tinggi secara keseluruhan, kebimbangan yang sedia ada dalam aplikasi hasil keputusan dalam amalan klinikal, dan keputusan kami yang tidak seragam dalam kajian-kajian yang telah dimasukkan menghalang kami daripada membuat cadangan dan mencapai kesimpulan muktamad pada masa ini. Oleh itu, kami tidak menemui sebarang bukti yang kuat untuk mengesyorkan atau menyangkal penggunaan rutin mana ujian ini dalam amalan klinikal. Setakat ini, ketepatan diagnostik TSBA untuk intrahepar kolestasis sewaktu kehamilan mungkin telah dianggarkan secara berlebihan. Terdapat terlalu sedikit kajian untuk sampai kepada anggaran yang tepat dalam ketepatan komponen profil serum asid hempedu. Penyelidikan klinikal utama yang lebih lanjut adalah mandatori. Kita memerlukan lanjutan kepada kedua-dua kajian diagnostik fasa II dan fasa III.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information