Ukuran janin sebagai panduan pengurusan perubatan wanita dengan kencing manis semasa kehamilan untuk meningkatkan hasil untuk ibu dan bayi

Apakah isu-isunya?

Kencing manis semasa kehamilan menjejaskan di antara satu dan tiga setiap sepuluh wanita hamil (10% hingga 30%), dan dikaitkan dengan peningkatan risiko hasil yang buruk. Bayi boleh membesar kepada saiz yang besar, menyebabkan kecederaan bayi semasa lahir, atau keperluan untuk bersalin secara “caesarean”. Adalah diketahui bahawa kawalan paras glukosa darah ibu secara teliti semasa mengandung dapat mengurangkan risiko ini dan kesan sampingan buruk yang lain. Tahap glukosa semua wanita yang menghidap kencing manis semasa kehamilan dipantau dengan teliti, dan mereka dirawat dengan cara perubahan pemakanan, senaman atau menggunakan ubat-ubatan seperti insulin atau ubat oral, walaupun bayi mereka tidak menunjukkan tanda-tanda akan terjejas.

Bayi yang lebih besar daripada jangkaan, serta risiko macrosomia (berat lebih daripada 4000 g sewaktu kelahiran) adalah tanda yang paling biasa seseorang bayi yang terjejas oleh glukosa dan insulin yang tinggi.

Mengapakah ini penting?

Hanya 14% hingga 22% wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa kehamilan mempunyai bayi makrosomik (bayi dengan berat lahir melebihi 4000 g). Setakat ini, semua wanita dengan diabetes semasa kehamilan akan tetap dipantau dengan teliti, walaupun bayi mereka tidak menunjukkan tanda-tanda bersaiz besar. Ini mengambil masa dan memerlukan kos bagi kedua-dua wanita dan pihak perkhidmatan kesihatan. Jika kami mampu membuktikan bahawa pemantauan intensif dan rawatan yang ditujukan kepada wanita yang mana bayi belum lahir mereka dikesan terjejas oleh pembesaran berlebihan tidak menaikkan risiko kesan buruk, kami berkemungkinan dapat menjimatkan masa, sumber dan kebimbangan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami telah mencari bukti pada 29 Januari 2019 dan mengenalpasti tiga kaj terkawal rawak yang kecil (melibatkan jumlah 524 wanita) untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami. Keseluruhannya, kualiti kajian adalah rendah hingga sederhana. Kajian-kajian ini tidak melaporkan kebanyakan hasil kepentingan dalam ulasan ini, termasuklah hasil-hasil yang dikaitkan dengan kos atau penggunaan sumber.

Berbanding dengan pemantauan tahap glukosa darah ibu sahaja, penambahan ultrasound mungkin mendatangkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko bersalin secara “caesarean” (2 kajian, 428 wanita, bukti kepastian rendah). Bukti kepastian sangat rendah bermakna bahawa kami masih tidak pasti tentang keputusan yang dikaitkan dengan risiko ibu mengalami penyakit tekanan darah sewaktu mengandung (2 percubaan, 325 wanita). Kajian yang dimasukkan tidak melaporkan hasil-hasil ibu yang penting seperti tahap glukosa rendah ataupun perkembangan diabetes jenis 2.

Penggunaan ultrasound sebagai tambahan kepada pemantauan tahap glukosa darah ibu mungkin menyumbang sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko bayi baru lahir mengalami tahap glukosa darah rendah (3 kajian, 524 wanita, bukti kepastian rendah). Bukti yang sangat rendah kepastiannya bermakna bahawa kami masih tidak pasti tentang keputusan yang dikaitkan dengan risiko melahirkan bayi yang lebih besar untuk umur kandungannya (3 kajian, 524 wanita); bahu bayi tersangkut dalam salur kelahiran (1 kajian, 96 wanita); kematian atau penyakit dalam kalangan bayi baru lahir (1 kajian, 96 wanita), atau kematian bayi dalam kandungan ibu atau sewaktu kelahiran (1 kajian, 96 wanita).

Apakah maksudnya?

Ulasan ini adalah berdasarkan bukti terhad daripada tiga kajian (melibatkan 524 wanita). Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan sesetengah hasil penting dalam ulasan ini, dan kebanyakan daripada hasil sekunder juga tidak dilaporkan. Kepastian bukti adalah di antara rendah hingga sangat rendah. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menilai penggunaan ultrasound (sebagai tambahan kepada tahap glukosa darah ibu) sebagai panduan pengurusan perubatan GDM (diabetes gestasi, iaitu kencing manis sewaktu kehamilan) serta terhadap kesan jangka pendek dan panjang hasilnya untuk ibu, bayinya atau kos-kos yang berkaitan.

Kajian rawak terkawal secara skala besar diperlukan. Kajian-kajian sedemikian perlu mempertimbangkan hasil jangka pendek dan panjang yang penting (seperti yang disenaraikan dalam ulasan ini) untuk ibu, bayinya, dan penggunaan sumber sedia ada.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save