Parasetamol untuk sakit kronik bukan kanser dalam kanak-kanak dan remaja

Kesimpulan

Tidak ada bukti dari ujikaji rawak terkawal untuk menyokong atau menafikan cadangan bahawa parasetamol (acetaminophen) dalam sebarang dos akan memberikan kelegaan dalam kesakitan untuk sakit kronik bukan kanser dalam kanak-kanak atau remaja.

Latar belakang

Kanak-kanak boleh mengalami sakit kronik atau berulang yang berkaitan keadaan genetik, sakit kerosakan saraf, sakit otot kronik dan sakit perut yang kronik, serta sebarang sebab yang tidak diketahui. Kesakitan kronik ialah sakit yang berlangsung tiga bulan atau lebih lama dan biasanya disertai oleh perubahan gaya hidup, kebolehan berfungsi, serta tanda dan gejala kemurungan dan kebimbangan.

Parasetamol (acetaminophen) adalah salah satu ubat penahan sakit yang paling banyak digunakan dalam kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak. Dos yang disyorkan di UK, Eropah, Australia, dan AS untuk kanak-kanak dan remaja adalah biasanya 10 hingga 15 mg/kg setiap empat hingga enam jam, dengan julat umur yang tertentu dari 60 mg (berumur 6 hingga 12 bulan) sehingga 500 hingga 1000 mg (lebih 12 tahun). Parasetamol adalah satu-satunya ubat penahan sakit yang disyorkan untuk kanak-kanak di bawah usia 3 bulan. Parasetamol telah terbukti selamat dalam dos yang sesuai dan dikawal, namun kesan sampingan daripada parasetamol jika terlebih dos atau terlebih guna dalam kanak-kanak adalah termasuk kegagalan hati dan buah pinggang.

Keputusan-keputusan utama

Pada September 2016 kami mencari ujikaji klinikal di mana sebarang parasetamol telah digunakan untuk merawat sakit kronik (berpotensi dari sakit saraf, masalah otot, kesakitan haid, atau ketidakselesaan abdomen).

Kami tidak mendapati kajian yang memenuhi keperluan ulasan ini. Beberapa kajian menguji parasetamol dalam kalangan dewasa dengan sakit kronik, tetapi tiada yang melibatkan peserta dari lahir hingga 17 tahun.

Kualiti bukti kajian

Kami merancang untuk menilai kualiti bukti kajian dengan menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud bahawa penyelidik tidak pasti mengenai keputusan kajian tersebut. Bukti yang berkualiti tinggi bermaksud kami sangat yakin terhadap keputusan kajian tersebut.

Kami tidak dapat menilai kualiti badan bukti kerana tidak ada bukti untuk menyokong atau menyangkal penggunaan paracetamol untuk kesakitan bukan kanser kronik dalam kanak-kanak atau remaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information