[Intervensi telefon untuk menyediakan pendidikan dan sokongan psikososial kepada penjaga]

Latar belakang

Penjaga yang memberi penjagaan kepada ahli keluarga, rakan, atau jiran mengalami peranan dalam cara yang berbeza. Sesetengah penjaga mungkin mendapati diri mereka dalam peranan menjaga yang mana mereka kurang bersedia dan sokongan profesional adalah penting. Ulasan ini menilai sama ada intervensi sokongan telefon yang disampaikan oleh profesional penjagaan kesihatan mempunyai manfaat positif terhadap pelbagai hasil termasuk kualiti hidup, beban (pengalaman ketegangan atau beban), pemerolehan kemahiran (contohnya penyelesaian masalah), kesihatan psikologi (misalnya kemurungan), pengetahuan, kesihatan fizikal, fungsi keluarga, kepuasan, atau kos, untuk penjaga yang tidak dibayar dalam masyarakat. Intervensi sokongan telefon adalah satu intervensi yang disampaikan melalui telefon dan direka bentuk untuk memberi pengetahuan, nasihat, atau bantuan kepada penjaga untuk membolehkan mereka mengurus kesejahteraan mereka sendiri atau orang yang dijaga. Ia adalah kaedah yang mudah diakses untuk memberi sokongan tanpa mengira lokasi geografi. Kajian-kajian yang membandingkan sokongan telefon dengan penjagaan biasa atau intervensi sokongan profesional berasaskan telefon dimasukkan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 21 kajian melibatkan 1,690 penjaga yang menjaga orang dengan pelbagai keadaan yang didiagnosis. Penjaga berumur antara 19 tahun hingga 87 tahun. Kebanyakan adalah wanita dan menjaga ahli keluarga. Majoriti adalah pasangan, khususnya isteri, kecuali satu kajian yang memfokus kepada kanak-kanak dewasa. Kebanyakan penjaga menerima pendidikan lebih tinggi daripada sekolah menengah. Lapan belas kajian melaporkan pembiayaan sumber yang bereputasi.

Keputusan utama

Sembilan belas kajian (18 kajian menyumbang data) membandingkan intervensi sokongan telefon dan penjagaan biasa. Intervensi sokongan telefon mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup penjaga (4 kajian, 364 penjaga) dan mungkin mempunyai sedikit kesan ke atas beban (9 kajian, 788 penjaga) berbanding penjagaan biasa apabila selesai intervensi. Walaupun keresahan berkurangan sedikit dan kesediaan untuk menjaga bertambah baik selepas intervensi, kami tidak pasti tentang kesan ke atas kemurungan dan secara keseluruhan, intervensi telefon mungkin sedikit atau tiada kesan ke atas hasil yang dinilai oleh ulasan ini. Kepuasan tinggi dengan intervensi dilaporkan dalam enam kajian yang mengukur hasil ini, tetapi tiada data perbandingan dari kumpulan penjagaan biasa dilaporkan.

Dua kajian membandingkan intervensi sokongan telefon dan bukan berasaskan telefon. Mungkin ada sedikit atau tiada bukti kesan sokongan telefon jika dibandingkan dengan intervensi sokongan bukan berasaskan telefon untuk sebarang hasil yang dilaporkan. Tiada kesan buruk diukur atau dilaporkan di dalam mana-mana kajian yang dimasukkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dinilai sebagai sangat rendah hingga sederhana merentasi hasil-hasil, sekali gus mengurangkan keyakinan terhadap penemua-penemuan. Kebanyakan keputusan adalah berdasarkan data dari kajian tunggal dengan segelintir peserta. Kajian lebih besar dengan reka bentuk lebih baik diperlukan untuk menentukan kesan intervensi sokongan telefon.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information