Intervensi yang disampaikan melalui laman rangkaian sosial untuk menyokong penggunaan kontraseptif oleh wanita

Latarbelakang

Kehamilan yang tidak dirancang mempunyai impak yang besar ke atas kesihatan dan kesejahteraan wanita, keluarga, dan komuniti mereka. Laman jaringan sosial (LJS) seperti Facebook dan Instagram adalah popular secara global, tetapi potensinya untuk membantu menambahbaik penggunaan kontraseptif belum diterokai sepenuhnya.

Objektif

Untuk menilai keberkesanan penggunaan LJS bagi mempromosi pengambilan dan pematuhan kepada kontrasepsi bagi wanita dalam usia reproduktif.

Kaedah carian

Kami menjalani carian elektronik dalam Januari 2018 ke atas beberapa databes atas talian dan konferen-konferen utama bagi mengenalpasti kajian-kajian relevan yang menggunakan LJS untuk menambahbaik penggunaan kontraseptif bagi wanita dalam usia reproduktif.

Kriteria pemilihan

Untuk dimasukkan didalam ulasan kali ini, kajian yang dibuat mesti menggunakan LJS (sama ada secara sendiri atau bersama dengan kaedah lain), dan telah mengikuti para wanita terlibat untuk sekurang-kurangnya tiga bulan selepas intervensi.

Pengumpulan data dan analisis

Dua pengarang secara berasingan telah menyaring tajuk, abstrak dan teks penuh kajian, dan mengekstrak data daripada kajian yang dimasukkan. Pengarang ketiga telah ditugaskan untuk menyelesaikan bahagian yang ada pertikaian.

Keputusan utama

Kami mengulas 461 tajuk, abstrak dan teks penuh artikel dan menemui hanya dua kajian yang menepati kriteria kemasukan. Kedua-dua kajian telah dijalankan di Amerika dan mempunyai risiko bias yang tinggi. Kajian pertama telah membahagikan wanita kepada dua kumpulan; satu kumpulan menerima akses kepada laman web yang mengandungi maklumat perubatan yang sangat tinggi ketepatannya mengenai kontrasepsi untuk orang awam yang dipanggil Bedsider.org, manakala kumpulan lain tidak didedahkan kepada apa-apa. Kajian mendapati tiada perbezaan diantara kedua kumpulan ini dalam penggunaan sesuatu kaedah kontraseptif secara konsisten, atau pengetahuan mereka mengenai keberkesanan setiap kaedah bagi mencegah kehamilan. Bagaimanapun, kajian ini mendapati lebih ramai wanita dalam kumpulan yang didedahkan kepada Bedsider.org telah menggunakan kaedah kontraseptif yang sangat berkesan selepas satu tahun.

Kajian kedua telah menggunakan halaman Facebook tertutup untuk mendedahkan wanita kepada samada kandungan kesihatan seksual atau artikel-artikel berita yang tidak mengandungi maklumat kesihatan seksual bagi menilai impak keatas penggunaan kondom. Kajian mendapati tidak ada perbezaan diantara kedua kumpulan ini dalam penggunaan kondom secara konsisten dalam masa enam bulan selepas intervensi atau niat mereka untuk menggunakan kondom di masa hadapan.

Kesimpulan pengarang

Kami dapati terdapat bukti saintifik yang sedikit untuk menyokong penggunaan LJS bagi menambahbaik penggunaan kontraseptif atau penggunaan seterusnya dikalangan wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information