Adakah reka bentuk kanta pengganti yang digunakan dalam pembedahan katarak membantu menghentikan pengaburan kanta baru bila berada di dalam mata?

Mesej utama
Dalam pembedahan katarak, kanta pengganti yang mempunyai reka bentuk pinggir yang tajam kurang cenderung untuk kabur di permukaannya daripada kanta dengan pinggir yang bulat. Orang yang diberikan kanta baru dengan pinggir tajam mungkin mempunyai penglihatan yang lebih jelas, dan mungkin kurang memerlukan pembedahan laser, daripada orang yang diberikan kanta dengan pinggir bulat.

Bagaimanakah katarak dirawat?
Kanta ialah cakera kecil, yang telus di dalam mata yang menumpukan sinar cahaya untuk membuat imej yang jelas bagi objek dilihat. Katarak bermula apabila tompok-tompok keruh terbentuk pada lensa mata. Apabila tompok-tompok keruh itu menjadi semakin besar, penglihatan menjadi berkabut dan kabur.

Pembedahan adalah satu-satunya cara untuk memperbaiki penglihatan jika anda mempunyai katarak. Dalam pembedahan katarak, potongan kecil dibuat dalam mata; kanta lama yang keruh dikeluarkan dan kanta plastik, yang baru diletakkan di tempatnya.

Selepas pembedahan katarak
Masalah biasa selepas pembedahan katarak adalah bahagian belakang kanta baru mengalami tompok-tompok keruh di permukaan, menyebabkan penglihatan kabur atau berkabut lagi. Masalah ini dirawat dengan menggunakan laser untuk membuat bukaan kecil di bahagian belakang kanta, untuk membiarkan cahaya masuk. Namun, prosedur ini dapat menyebabkan masalah lebih lanjut, seperti meningkatkan tekanan di dalam mata, atau boleh merosakkan bahagian mata yang lain.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Pelbagai gaya kanta plastik telah direka untuk cuba menghentikan atau mengurangkan pengaburan apabila kanta berada di dalam mata. Perubahan termasuk menjadikan pinggir kanta bulat atau tajam. Kami ingin mengetahui sama ada pinggir kanta yang berlainan bentuk menjadikannya kurang cenderung untuk kabur.

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menguji pelbagai reka bentuk kanta plastik yang digunakan dalam pembedahan katarak. Kami ingin mengetahui bagaimana pinggir yang berlainan bentuk mempengaruhi keperluan untuk rawatan laser mata setahun selepas pembedahan katarak.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 17 November 2020.

Apakah yang kami temui
Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 1065 orang dengan katarak berkaitan usia yang menjalani pembedahan untuk menggantikan kanta dalam 1834 mata. Kajian ini dilakukan di Austria, Jerman, India, Jepun, Sweden dan UK. Kajian tersebut berlangsung untuk sekurang-kurangnya setahun. Beberapa kajian mengikuti peserta sehingga 12 tahun selepas pembedahan mereka.

Kajian membandingkan kanta pengganti dengan pinggir yang bulat dengan kanta pengganti dengan pinggir yang tajam.

Satu syarikat farmaseutikal membiayai satu kajian dan membiayai sebahagian lagi kajian.

Apakah keputusan utama ulasan kami?
Dalam kesemua 10 kajian, mata yang diberikan kanta berpinggir tajam menunjukkan kurang pengaburan pada kanta, dibandingkan dengan mata yang diberikan kanta berpinggir bulat.

- Setelah dua, tiga dan lima tahun, mata yang diberikan kanta berpinggir tajam kurang cenderung untuk memerlukan pembedahan laser berbanding yang menerima kanta berpinggir bulat (bukti dari enam kajian yang melibatkan 742 orang).
- Selepas setahun dan tiga tahun, penglihatan mungkin lebih jelas pada mata yang diberikan kanta berpinggir tajam berbanding mata yang diberikan kanta berpinggir bulat (bukti dari dua kajian yang melibatkan 260 orang).
- Pada satu tahun selepas pembedahan, adalah tidak jelas sama ada reka bentuk kanta (tajam atau bulat) mempengaruhi berapa banyak orang yang perlu menjalani pembedahan laser untuk merawat tompok yang kabur pada kanta baru. Ini mungkin kerana tidak ramai orang dalam mana-mana kumpulan memerlukan pembedahan laser selepas setahun.

Kami tidak pasti bagaimana kedua-dua reka bentuk kanta mempengaruhi jumlah kesan tidak diingini yang dialami orang kerana hal ini tidak dilaporkan secara konsisten. Kami tidak menemui bukti bagi perbezaan penting antara kedua-dua jenis kanta dalam jumlah komplikasi yang dilaporkan.

Tidak ada kajian yang mengukur kesejahteraan orang.

Keyakinan kami terhadap keputusan kami
Kami berkeyakinan sederhana mengenai kanta dengan pinggir tajam yang menunjukkan skor purata yang lebih rendah untuk pengaburan berbanding kanta dengan pinggir bulat. Bukti lebih lanjut boleh meningkatkan keyakinan kami terhadap keputusan ini. Kami kurang yakin penglihatan menjadi lebih jelas dan kurang keperluan untuk pembedahan laser untuk mata yang diberikan kanta berpinggir tajam. Penyelidikan lanjut mungkin meningkatkan keyakinan kami terhadap keputusan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information