Intervensi untuk menyelidik dan mengenal pasti punca kelahiran mati

Apakah isunya?

Terdapat pelbagai punca kelahiran mati, termasuk ibu yang mengalami tekanan darah tinggi atau diabetes sebelum kehamilan, jangkitan seperti malaria, HIV atau sifilis, kelainan kongenital pada bayi, isu tentang kebolehupayaan plasenta untuk berfungsi dengan baik, dan kehamilan berlanjutan melepasi tarikh jangkaan bersalin. Kadang kala bayi meninggal dunia disebabkan pelbagai punca. Kematian bayi semasa kelahiran adalah peristiwa buruk bagi ibu bapa, keluarga, dan masyarakat. Bagi mengelakkan kelahiran mati, kita perlu memahami tentang kenapa ia berlaku. Memahami kenapa bayi meninggal dunia juga mungkin membantu ibu bapa mengatasi kesedihan mereka, dan membantu mereka dalam merancang kehamilan pada masa hadapan.

Banyak ujian dan penyelidikan yang berbeza boleh dijalankan bagi mengetahui kenapa bayi mati. Ujian dan penyelidikan ini berbeza mengikut tahap kepakaran yang diperlukan, kadar invasifnya, dan kos ekonomi. Ujian, prosedur atau garis panduan untuk menyelidik dan mengenal pasti punca kelahiran mati merangkumi penelitian sejarah perubatan ibu bapa, sebarang masalah sewaktu kehamilan, ujian ke atas ibu (seperti ultrasound, amniosentesis, saringan antibodi), pemeriksaan ke atas bayi yang lahir mati tersebut, pemeriksaan tali pusat dan plasenta, serta soal jawab dengan penyedia penjagaan dan kumpulan sokongan untuk mengetahui puncanya tanpa melakukan pemeriksaan ke atas bayi (autopsi lisan). Pada masa ini tidak ada pendekatan piawai untuk menyiasat punca-punca kelahiran mati.

Mengapa ini penting?

Mencari punca kelahiran mati boleh menjadi sukar secara emosinya bagi keluarga, dan membiayai perkhidmatan kesihatan yang mahal dan kadang-kala untuk ibu bapa. Beberapa ujian dan penyelidikan mungkin lebih bermanfaat daripada yang lain dalam mengenal pasti punca kelahiran mati. Terdapat keperluan untuk membuat penilaian secara sistematik tentang pendekatan yang paling berkesan dalam mencari punca kelahiran mati, tahap keberkesanan kos bagi pendekatan yang berbeza, kesan emosi dan sosial terhadap ibu bapa, impak penyelidikan terhadap kehamilan pada masa hadapan, serta keputusan akhir kehamilan pada masa hadapan.

Apa bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada 15 Mei 2017. Kami tidak menemui sebarang kajian untuk disertakan dalam ulasan ini. Kami mengecualikan lima kajian kerana ia bukan kajian rawak terkawal.

Apakah maksudnya?

Tiada bukti sedia ada untuk dijadikan panduan tentang cara terbaik menyelidik punca kelahiran mati. Mencari punca kematian bayi merupakan komponen penting dalam penjagaan bersalin yang berkualiti tidak kira dalam apa jua persekitaran. Kajian pada masa hadapan berkaitan tajuk ini akan mendatangkan manfaat, namun kajian-kajian ini harus dirangka bagi memastikan semua ibu bapa yang terlibat tetap menerima penjagaan piawai yang minimum dalam persekitaran mereka. Kajian pada masa akan datang perlu dilaksanakan dengan penuh perhatian dan pertimbangan terhadap keperluan, kepentingan, dan nilai ibu bapa dan keluarga. Penilaian ke atas pembolehubah psikososial jangka panjang, kos ekonomi terhadap perkhidmatan kesihatan, dan kesan terhadap penjagaan kehamilan berikutnya dan hasilnya harus dipertimbangkan dalam sebarang kajian pada masa hadapan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fatin Atiqah Nurul Mubin (Universiti Tenaga Nasional). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save