Ezetimibe untuk pencegahan penyakit jantung dan kematian

Soalan ulasan

Adakah pengambilan ezetimibe selamat dan adakah ia mencegah penyakit jantung dan kematian?

Latar belakang

Penyakit jantung kekal penyebab utama kematian serata dunia, dan pengawalan tahap lipid merupakan salah satu strategi paling berkesan untuk mencegah penyakit jantung. Penggunaan statin merupakan strategi rawatan yang digemari bagi pencegahan penyakit jantung, tetapi sesetengah orang yang berisiko tinggi penyakit jantung tidak tahan kepada statin atau mempunyai respon lemah kepada terapi statin. Ezetimibe merupakan ubat bukan statin yang boleh mengurangkan tahap lipid darah dengan merencat penyerapan kolesterol, tetapi samada ia mempunyai kesan yang bermanfaat ke atas penyakit jantung dan kematian masih tiada kepastian.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2018. Kami masukkan 26 kajian yang melibatkan 23,499 peserta. Kajian-kajian ini menilai kesan-kesan ezetimibe dan ubat perendah lipid yang lain berbanding ubat perendah lipid sahaja untuk penyakit jantung. Peserta adalah orang dewasa, dan kebanyakan mereka telah didiagnoskan dengan penyakit jantung koronari.

Keputusan utama

Ezetimibe dengan statin mungkin mengurangkan risiko bagi hasil gabungan kematian yang disebabkan penyakit jantung, serangan jantung atau strok, tetapi manfaatnya adalah sederhana. Bagaimanapun, penambahan ezetimibe kepada statin atau fenofibrate mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kematian dari mana-mana sebab. Rawatan dengan ezetimibe dan statin mungkinnya mengurangkan risiko bagi serangan jantung yang tidak meragut nyawa dan strok yang tidak meragut nyawa. Penambahan ezetimibe kepada statin atau fenofibrate mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kematian berkaitan jantung. Ezetimibe dengan statin mungkin mengurangkan keperluan untuk vaskularisasi-semula koronari (pengembalian bekalan darah yang cukup ke jantung) melalui pembedahan.

Dari aspek keselamatan, kami tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mengetahui samada ezetimibe menambah atau mengurangkan kesan-kesan sampingan (contoh, kecederaan hati, sakit otot, kanser, penyakit berkaitan pundi hempedu dan pemberhentian). Analisa lipid darah menunjukkan terapi tambahan ezetimibe statin atau fenofibrate mungkin merendahkan seterusnya tahap lipid darah, termasuk kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (kolesterol ‘jahat’), kolesterol total dan trigliserida, dan berkemungkinan besar menambah tahap kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (kolesterol ‘baik’). Tidak ada kajian yang dimasukkan yang melaporkan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan. Tidak ada bukti menyokong penggunaan monoterapi ezetimibe untuk pencegahan penyakit jantung, dan topik ini memerlukan kajian lanjutan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah pelbagai dari tinggi ke sangat rendah bagi keseluruhan hasil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information