Methadone untuk sakit neuropatik pada orang dewasa

Kesimpulan
Tiada bukti yang kukuh untuk menyokong atau menolak cadangan bahawa methadone berkesan untuk sebarang keadaan sakit neuropatik.

Latar belakang
Sakit neuropatik adalah sakit yang datang dari kerosakan sistem saraf. Kesakitan ini berbeza daripada mesej kesakitan yang dibawa oleh saraf yang sihat daripada tisu tercedera (contohnya, daripada jatuh, luka atau sakit sendi lutut). Sakit neuropatik sering dirawat dengan ubat-ubatan yang berlainan daripada ubat-ubatan yang digunakan untuk sakit yang disebabkan oleh tisu yang tercedera, yang kita sentiasa anggap sebagai ubat penahan sakit. Terdapat pelbagai jenis sakit neuropatik, dengan punca yang berbeza. Sesetengah ubat yang digunakan untuk merawat kemurungan atau epilepsi menjadi sangat berkesan pada sesetengah orang yang mengalami sakit neuropatik dengan mengubah isyarat yang dibawa sepanjang saraf yang menghantar rangsangan yang menyakitkan (sesuatu yang mengakibatkan perubahan cara badan berfungsi). Kadang-kala ubat penahan sakit opioid digunakan untuk merawat sakit neuropatik. Ubat penahan sakit opioid adalah seperti morphine. Morphine berasal daripada tumbuh-tumbuhan, tetapi kebanyakkan opioid juga dibuat daripada sintesis kimia berbanding diekstrak daripada tumbuh-tumbuhan. Methadone adalah salah satu daripada opioid sintetik ini. Methadone mempunyai banyak ciri yang menjadikannya berbeza daripada opioid lain, yang mungkin mempengaruhi keberkesanannya atau kesan sampingan yang dialami pesakit.

Ciri-ciri kajian
Pada November 2016, kami mencari kajian klinikal di mana methadone digunakan untuk merawat sakit neuropatik pada orang dewasa. Kami mendapati tiga kajian kecil, mendaftarkan 105 peserta, yang memenuhi keperluan kami untuk ulasan. Kajian itu semuanya agak berbeza dalam reka bentuk mereka: kaedah bagi dua kajian mencerminkan kekerapan methadone ditetapkan dalam amalan, di mana peserta menerimanya dua atau tiga kali sehari. Satu kajian mempunyai reka bentuk yang lebih eksperimen. Ketiga-tiga kajian mempunyai dua fasa. Tempoh kajian berbeza dari 20 hari hingga sekitar lapan minggu untuk setiap fasa. Kajian adalah serupa kerana semua dos methadone rendah diberikan, yang mungkin atau mungkin tidak mencerminkan dos yang biasanya ditetapkan dalam amalan klinikal.

Penemuan utama
Dua kajian melihat berapa ramai peserta mendapat sekurang-kurangnya 30% kelegaan kesakitan. Sebelas daripada 29 peserta yang menerima methadone mencapai 30% kelegaan kesakitan berbanding tujuh daripada 29 yang menerima plasebo. Dalam satu kajian, tiada seorang daripada 19 peserta mencapai pengurangan 50% dalam intensiti kesakitan, sama ada apabila menerima methadone atau apabila menerima plasebo (pil gula). Pengurangan intensiti kesakitan ini telah terbukti penting kepada pesakit. Di samping itu, satu kajian mendapati peningkatan dalam purata maksimum intensiti kesakitan dan kelegaan kesakitan apabila membandingkan methadone dengan plasebo.

Dalam dua kajian yang melaporkan keciciran daripada kajian itu, tiada seorang pun daripada 29 peserta tercicir kerana mereka fikir methadone atau plasebo tidak membantu mengurangkan kesakitan mereka; manakala empat daripada 29 tercicir kerana kesan sampingan semasa mengambil methadone dan tiga daripada 29 semasa mengambil plasebo.

Satu kajian melaporkan berapa ramai peserta yang mempunyai kesan sampingan tertentu, dan mendapati peningkatan kesan pening dengan methadone berbanding plasebo. Tiada kesan sampingan serius atau kematian dilaporkan. Terdapat begitu sedikit maklumat daripada kajian ini sehingga kami membuat kesimpulan bahawa tiada bukti yang meyakinkan untuk menyokong atau menolak manfaat bermakna untuk methadone berbanding plasebo atau sebarang rawatan lain.

Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah kerana terdapat hanya tiga kajian kecil dengan reka bentuk yang berbeza, dan dengan sedikit peserta dan acara. Di samping itu, kajian mungkin tidak cukup lama untuk menunjukkan sejauh mana methadone akan berfungsi (atau sejauh mana ia selamat) dalam tempoh masa yang lebih lama. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud bahawa kami tidak pasti mengenai keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information