Intervensi untuk mengelak dan mengurangkan penggunaan kekangan fizikal di kalangan orang-orang tua di hospital

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kekangan fizikal ialah alat yang mengurangkan kebebasan seseorang untuk bergerak. Ini boleh merupakan pengadang katil, tali pinggang di kerusi atau katil, dan meja tetap, yang menghalang seseorang bangun dari katil atau kerusi, atau sarung tangan yang menghalang seseorang daripada bebas menggunakan tangan. Di sesetengah negara, kekangan fizikal digunakan dengan agak biasa untuk orang tua di wad-wad hospital umum. Sebab utama untuk ini adalah untuk cuba mencegah jatuh dan kecederaan yang berkait dengan jatuh, atau untuk mencegah mereka daripada membuang drip atau tiub. Kekangan fizikal juga digunakan sebagai tindak balas terhadap kelakuan pesakit yang menjadikan penjagaan mereka lebih mencabar untuk kakitangan penjagaan kesihatan dan mungkin berisiko, contohnya pesakit yang berkelakuan gelisah atau agresif atau merayau-rayau tanpa pemerhatian di sekitar wad. Ia paling kerap digunakan di hospital untuk penjagaan orang tua yang mempunyai masalah mobiliti atau gangguan kognitif disebabkan dementia atau delirium.

Adalah tidak jelas sama ada penggunaan kekangan fizikal berkesan untuk mencegah jatuh atau pembuangan tiub, tetapi penggunaannya mungkin meningkatkan perasaan takut, marah dan ketidakselesaan serta mengurangkan kesejahteraan. Akibat lain daripada penggunaan kekangan fizikal termasuklah menyebabkan mobiliti lebih teruk, meningkatkan risiko ulser tekanan dan inkontinensia, dan kecederaan yang berkait langsung dengan penggunaan kekangan fizikal. Oleh itu, kekangan fizikal mungkin mempunyai impak negatif terhadap pemulihan dan rehabilitasi orang tua di hospital. Garis panduan menyarankan supaya penggunaannya dikurangkan atau dihentikan, dan di sesetengah negara ia adalah menyalahi undang-undang dalam kebanyakan keadaan. Intervensi untuk mengelak dan mengurangkan penggunaan kekangan fizikal biasanya termasuk pendidikan untuk kakitangan dan promosi penggunaan strategi penjagaan lain. Kadangkala ia mungkin melibatkan penyediaan peralatan alternatif yang dianggap kurang mengekang.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami bertujuan untuk mencari intervensi yang paling berkesan untuk mencegah atau mengurangkan penggunaan kekangan fizikal di kalangan orang tua di hospital.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang menyelidik intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan atau mencegah penggunaan kekangan fizikal di kalangan orang tua di hospital. Kajian perlu melibatkan kumpulan perbandingan yang terdiri daripada peserta yang tidak mendapat intervensi (kumpulan kawalan). Kami memasukkan empat kajian. Satu kajian telah dijalankan di wad perubatan umum di sebuah hospital di Kanada dan tiga kajian telah dijalankan di hospital rehabilitasi di Hong Kong. Purata usia peserta dalam kajian ini adalah antara 67 dan 84 tahun. Dalam kesemua kajian, intervensi yang dikaji telah dibandingkan dengan rawatan seperti biasa.

Tiga kajian menyelidik intervensi organisasi bertujuan untuk merubah polisi dan amalan supaya penggunaan kekangan fizikal berkurangan. Ini dilakukan dengan menawarkan pendidikan dan latihan kepada kakitangan kejururawatan, dan strategi lain untuk menyokong kakitangan dalam mengelakkan kekangan fizikal. Satu kajian menguji penggunaan penggera sensor tekanan di katil dan kerusi orang-orang yang berisiko tinggi untuk jatuh, yang akan menyebabkan penggera berbunyi jika seseorang itu bangun.

Apa yang kami dapati?

Keputusan tiga kajian yang menguji pendidikan bersama-sama dengan strategi untuk menyokong profesional penjagaan kesihatan mengelakkan sekatan fizikal adalah tidak konsisten. Dalam satu kajian bilangan peserta dengan kekangan fizikal meningkat semasa tempoh kajian dalam kedua-dua kumpulan intervensi dan kawalan; dalam kajian lain bilangan peserta dengan kekangan fizikal berkurangan sedikit dalam kedua-dua kumpulan. Kajian ketiga telah direka dengan berbeza supaya intervensi diperkenalkan kepada semua peserta secara berperingkat; dalam kajian ini, kurang peserta yang dikekang secara fizikal selepas intervensi diperkenalkan. Penggunaan sensor tekanan di katil atau kerusi tidak mengakibatkan pengurangan kekangan fizikal berbanding dengan kumpulan kawalan.

Tiada kajian yang melihat kesan berbahaya, contohnya kecederaan akibat penggunaan kekangan fizikal.

Tidak terdapat peningkatan atau pengurangan dalam bilangan jatuh atau kecederaan yang berkaitan dengan jatuh, atau dalam penggunaan ubat psikotropik. Juga tidak terdapat kesan terhadap mobiliti dan fungsi.

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad disebabkan sedikit bilangan kajian dan kerana kajian tidak sentiasa menggunakan kaedah yang paling sesuai untuk melaksanakan penyelidikan mereka. Contohnya, dua kajian tidak menetapkan peserta secara rawak kepada kumpulan kajian.

Apakah kesimpulannya?

Disebabkan bilangan dan kualiti bukti yang terhad, kami tidak pasti sama ada intervensi yang melibatkan pendidikan kakitangan penjagaan kesihatan, beserta dengan strategi lain untuk membantu mereka mengelak daripada menggunakan kekangan fizikal, boleh dengan berkesan mengurangkan penggunaan kekangan fizikal di kalangan orang tua dalam persekitaran hospital umum. Penggunaan penggera sensor tekanan di katil atau kerusi bagi mereka yang berisiko lebih tinggi untuk jatuh berkemungkinan tidak berkesan untuk mengurangkan kekangan fizikal. Bagi memberikan penjagaan tanpa penggunaan kekangan fizikal, adalah penting untuk mewujudkan persekitaran penjagaan di hospital umum yang memenuhi keperluan orang tua dengan masalah mobiliti dan kognitif serta menggalakkan mobiliti yang selamat.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 20 April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information