Intervensi untuk jatuh dalam sklerosis berbilang

Soalan ulasan

Adakah orang dengan sklerosis berbilang (MS) yang menerima intervensi untuk mengurangkan jatuh menunjukkan hasil yang lebih baik berbanding mereka yang tidak menerima rawatan? Tambahan juga, adakah pelbagai jenis intervensi memberi hasil yang berbeza untuk orang dengan MS?

Latar belakang

Akibat kerosakan sistem saraf pusat dalam kalangan orang dengan MS, kesukaran berfikir, kekuatan otot, tona otot, sensasi, koordinasi dan mobiliti boleh membawa kepada peningkatan risiko jatuh, berbanding orang tanpa MS. Intervensi untuk mencegah jatuh ditawarkan kepada orang dengan MS dan sering termasuk: senaman, ubat, pembedahan, pengurusan inkontinens urinari, terapi cecair atau nutrisi, intervensi psikologi, teknologi persekitaran/bantuan, persekitaran (persekitaran sosial), intervensi pengetahuan dan intervensi lain. Risiko jatuh dalam kalangan orang dengan MS adalah tiga kali lebih tinggi dalam kalangan orang tua, tetapi adalah tidak jelas sama ada intervensi jatuh berkesan dalam mengurangkan jatuh dalam MS. Pada masa ini terdapat beberapa kajian berkualiti yang telah menyiasat keberkesanan intervensi jatuh dalam kalangan orang dengan MS.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 13 kajian dengan 839 peserta melibatkan pelbagai jenis intervensi jatuh, kebanyakannya membandingkan intervensi senaman dengan tiada intervensi atau dua atau lebih intervensi pencegahan jatuh.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Terdapat ketidakpastian tentang kesan senaman terhadap pencegahan jatuh kerana kualiti bukti rendah hingga sangat rendah bagi beberapa hasil utama. Keyakinan kami terhadap keputusan ini adalah rendah untuk pencegahan jatuh kerana ia telah dinilai hanya dalam beberapa kajian kecil yang kami anggap berisiko bias dan kelemahan metodologi. Masih kurang kajian besar dan berkualiti tinggi untuk mendasarkan penemuan kami, oleh itu lebih banyak kajian diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save