Terapi antikulat topikal atau sistemik untuk rhinosinusitis kronik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk manfaat dan mudarat rawatan antikulat dalam kalangan pesakit dengan rhinosinusitis kronik termasuk mereka yang mempunyai rhinosinusitis kulat alergik (AFRS).

Latar belakang

Rhinosinusitis kronik adalah keadaan lazim yang dicirikan oleh keradangan hidung dan sinus paranasal (sekumpulan ruang yang berisi udara di belakang hidung, mata dan pipi). Pesakit dengan rhinosinusitis kronik mempunyai sekurang-kurangnya dua simptom berikut untuk sekurang-kurangnya 12 minggu: sama ada hidung tersumbat dan/atau discaj dari hidung mereka (hidung berair) dan salah satu rasa sakit/tekanan di muka mereka atau deria bau yang berkurangan (hiposmia). Sesetengah orang juga mempunyai polip hidung, yang merupakan kebengkakan seperti anggur di lapisan hidung normal di dalam laluan hidung dan sinus. Sesetengah orang dengan rhinosinusitis kronik dengan polip hidung alah kepada kulat udara dan ini boleh menyebabkan sejenis keadaan spesifik yang dipanggil rhinosinusitis kulat alergik (AFRS).

Spora kulat lazim dijumpai di dalam hidung kerana ia berada di udara yang disedut. Adalah tidak jelas jika kulat memain peranan di dalam semua kes rhinosinusitis kronik tetapi terdapat bukti bahawa ia mungkin berperanan di dalam sebahagian pesakit. Rawatan antikulat membunuh spora kulat atau menghentikan pertumbuhannya. Rawatan antikulat untuk rhinosinusitis kronik diguna sama ada secara topikal (dimasukkan ke hidung) atau diambil secara sistematik (melalui mulut).

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian (490 peserta dewasa). Tujuh kajian (437 peserta) menyiasat antikulat topikal (semburan hidung atau pengairan) dan satu kajian (53 peserta) menyiasat antikulat sistemik (tablet). Semua kajian membandingkan antikulat dengan plasebo atau tiada rawatan. Kebanyakan kajian dijalankan dengan baik dan terdapat campuran pesakit dengan rhinosinusitis kronik dengan, dan tanpa, polip hidung.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Pada akhir sekurang-kurangnya empat minggu, tiada kajian mendapati pesakit yang menggunakan antikulat (topikal atau sistemik) mempunyai kualiti hidup yang lebih baik atau gejala yang kurang teruk berbanding pesakit yang menggunakan plasebo atau tiada rawatan.

Tidak ramai peserta dalam kajian melaporkan kesan buruk. Antikulat topikal mungkin menyebabkan lebih iritasi hidung berbanding plasebo. Adalah tidak pasti jika pesakit yang mengambil antikulat topikal mengalami lebih sakit kepala atau hidung berdarah berbanding plasebo.

Untuk antikulat sistemik, adalah tidak pasti jika pesakit yang menggunakan antikulat mempunyai masalah hati (keracunan hepatik) berbanding plasebo. Antikulat sistemik boleh menyebabkan kurang pesakit dengan gangguan gastrousus berbanding plasebo.

Kami mendapati tiada kajian yang membandingkan rawatan antikulat dengan rawatan lain untuk rhinosinusitis kronik.

Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah (penyelidikan lanjut berkemungkinan besar mempunyai impak penting terhadap keyakinan kami kepada keputusan) atau sangat rendah (sebarang anggaran keputusan adalah sangat tidak pasti), kerana beberapa keputusan hanyalah dari satu atau dua kajian, yang tidak mempunyai ramai peserta. Tambahan juga, kajian-kajian melaporkan hasil menggunakan skala ukuran yang berbeza menyukarkan untuk membuat kesimpulan.

Kesimpulan

Oleh kerana kualiti bukti yang sangat rendah, adalah tidak pasti sama ada penggunaan antikulat topikal atau sistemik mempunyai impak ke atas hasil pesakit dewasa dengan rhinosinusitis kronik berbanding plasebo atau tiada rawatan. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai populasi pesakit yang jelas (seperti subkumpulan AFRS) dan untuk menilai antikulat lain yang belum dinilai dalam kajian-kajian rawak terkawal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information