Persepsi dan pengalaman peneman semasa kelahiran

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat sintesis bukti kualitatif Cochrane ini adalah untuk meneroka bagaimana pengalaman wanita, keluarga, dan pekerja kesihatan menemai wanita yang melahirkan anak bersama sama dengan orang sokongan ('teman bersalin'). Seorang peneman bersalin mungkin adalah pasangan wanita, ahli keluarga, penyokong terlatih (doula), atau jururawat / bidan. Kami mengumpul dan menganalisa semua kajian kualitatif yang relevan untuk menjawab persoalan ini.

Sintesis bukti kualitatif yang menghubungkan kepada ulasan Cochrane lain oleh Bohren dan rakan-rakan dari tahun 2017 adalah untuk menilai kesan sokongan berterusan untuk wanita semasa bersalin. Sokongan berterusan dapat meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan untuk wanita dan bayi tetapi faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan yang berjaya tidak difahami dengan baik.

Mesej-mesej utama

peneman bersalin menyediakan maklumat untuk wanita, sokongan emosi, dan praktikal dan boleh bersuara untuk menyokong wanita. Peneman bersalin dapat membantu wanita untuk mendapat pengalaman kelahiran yang positif dan perlu bersikap penuh belas kasihan dan boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, tidak semua wanita yang mahukan peneman bersalin boleh mendapat seorang teman, terutamanya dalam keadaan tetapan sumber yang rendah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami menggunakan istilah 'peneman bersalin' untuk menggambarkan sokongan yang diberikan kepada wanita semasa bersalin dan melahirkan anak. Di negara berpendapatan tinggi, wanita sering ditemani oleh ahli keluarga atau doula. Tetapi bagi kemudahan kesihatan di negara berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana, wanita mungkin tidak dibenarkan mempunyai orang sokongan, dan mungkin melalui proses kelahiran anak dan bersalin seorang diri.

Ulasan Bohren dari 2017 menunjukkan bahawa sokongan wanita yang semasa kelahiran mempunyai kesan positif terhadap pengalaman wanita dan kesihatan mereka. Kami berusaha untuk memahami bagaimana wanita, teman, dan pekerja kesihatan merasakan tentang peneman bersalin, dan faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi akses wanita terhadap peneman bersalin.

Apakah penemuan-penemuan utama?

Kami mendapati 51 kajian, kebanyakannya dari negara berpendapatan tinggi dan kebanyakannya menggambarkan perspektif wanita. Kami menilai tahap keyakinan kami bagi setiap penemuan dengan menggunakan pendekatan GRADE-CERQual. Kami mempunyai keyakinan tinggi atau sederhana dalam kebanyakan penemuan kami. Bagi penemuan yang kami hanya mempunyai keyakinan rendah atau sangat rendah, kami telah melabelkan mereka.

Peneman bersalin menyokong wanita dalam empat cara yang berbeza. Peneman memberikan maklumat sokongan dengan memberikan maklumat tentang kelahiran anak, merapatkan jurang komunikasi antara pekerja kesihatan dan wanita, dan memudahkan pelegaan kesakitan bukan farmakologi. Peneman adalah penyokong, yang bermaksud mereka bersuara untuk menyokong wanita tersebut. Peneman memberikan sokongan praktikal, termasuk mendorong wanita untuk bergerak, menyediakan urut, dan memegang tangannya. Akhirnya, peneman bersalin memberikan sokongan emosi, memberi pujian dan jaminan untuk membantu wanita berasa terkawal dan yakin, dan memberikan kehadiran fizikal yang berterusan.

Wanita yang menginginkan peneman yang hadir semasa bersalin dan melahirkan anak memerlukan orang itu tersebut untuk menjadi orang yang penuh belas kasihan dan boleh dipercayai. Peneman membantu wanita mendapat pengalaman kelahiran yang positif. Wanita tanpa peneman melihat keadaan ini sebagai pengalaman kelahiran yang negatif. Wanita mempunyai perspektif positif dan negatif tentang keinginan untuk mendapat kehadiran pasangan lelaki (keyakinan rendah). Secara umumnya, lelaki sebagai peneman berasa bahawa kehadiran mereka memberi impak positif terhadap diri mereka sendiri (keyakinan rendah) dan terhadap hubungan dengan pasangan dan bayi mereka (keyakinan rendah), walaupun ada yang merasa bersalah menyaksikan kesakitan bersalin (keyakinan rendah). Sesetengah rakan lelaki merasakan bahawa mereka tidak dapat berintegrasi dengan baik ke dalam pasukan penjagaan atau membuat keputusan.

Doula sering bertemu dengan wanita sebelum kelahiran untuk membina hubungan dan menguruskan harapan. Wanita boleh membangunkan ikatan rapat dengan doula mereka (keyakinan rendah). Wanita yang dilahirkan di negara asing yang berpendapatan tinggi mungkin menghargai sokongan daripada doula berasaskan komuniti untuk menerima penjagaan yang kompeten dari segi budaya (keyakinan rendah).

Faktor-faktor yang mempengaruhi pelaksanaan termasuk pekerja kesihatan dan wanita yang tidak mengenali manfaat peneman, kekurangan ruang dan privasi, dan takut tentang peningkatan risiko jangkitan (keyakinan rendah). Penukaran dasar untuk membolehkan peranan peneman dan menangani jurang antara dasar dan amalan dianggap penting (keyakinan rendah). Sesetengah pembekal menolak atau tidak terlatih tentang cara menggunakan peneman, dan ini boleh menyebabkan konflik. Peneman awam sering tidak diintegrasikan ke dalam penjagaan antenatal. Ini boleh menyebabkan kekecewaan (keyakinan rendah).

Kami membandingkan penemuan kami dari sintesis kepada program / pendekatan peneman yang dinilai dalam keberkesanan ulasan Bohren. Kami mendapati bahawa kebanyakan program ini tidak dilihat dapat menangani ciri-ciri utama pebeman bersalin ini.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskinikan?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sebelum 9 September 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information
Share/Save