Program keibubapaan prihatin yang dipertingkat untuk memperbaik hasil psikososial kanak-kanak dan ibu bapa mereka

Mesej utama

• Program latihan ibubapa prihatin yang dipertingkat boleh memperbaik beberapa hasil anak dan ibu bapa, termasuklah penyesuaian emosi dan tingkah laku anak, kemahiran keibubapaan, kemurungan atau kebimbangan ibu bapa, stres keibubapaan dan keprihatinan ibu bapa.

• Apabila program latihan keibubapaan prihatin digabung dengan program latihan keibubapaan berasaskan kemahiran, ini boleh mengurangkan stres keibubapaan.

• Bukti sedia ada adalah terhad, dengan lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk meyakini penemuan kami.

Kesukaran emosi dan tingkah laku kanak-kanak

Kesukaran emosi dan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak digambarkan oleh julat tingkah laku melahirkan dan/atau menghayati yang lama-kelamaan boleh menjadi sangat stabil. Ia adalah penyebab penting bagi ketakupayaan fungsi kanak-kanak dan boleh meramal kelemahan psikososial, akademik dan pemfungsian pekerjaan masa remaja dan seterusnya. Kelaziman, kestabilan, dan akibat jangka panjang daripada kesukaran emosi dan tingkah laku menunjukkan kepentingan campur tangan pada fasa kanak-kanak di mana corak tingkah laku lebih mudah diubah suai.

Mengapa latihan keibubapaan prihatin yang dipertingkat?

Keibubapaan memain peranan penting dalam perkembangan dan/atau pengendalian kesukaran emosi dan tingkah laku kanak-kanak. Program latihan keibubapaan yang berasaskan tingkah laku atau kemahiran tradisional telah menunjukkan kesan positif dalam sebahagian hasil anak dan ibu bapa, tetapi ia tidak berkesan untuk semua ibu bapa. Salah satu sebab adalah reaksi emosi ibu bapa mungkin mencegah mereka daripada menggunakan kemahiran keibubapaan dengan berkesan. Memasukkan komponen tambahan ke dalam latihan keibubapaan yang bertujuan memperbaik respon emosi ibu bapa mungkin dapat mempertingkat hasil program-program ini. Penyelidikan terkini menunjukkan intervensi keibubapaan prihatin boleh mempromosi hasil positif dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak dengan memperbaik keupayaan ibu bapa untuk mengawal emosi dan stres. Oleh itu, menggabung pendekatan keibubapaan prihatin dengan program latihan keibubapaan tradisional boleh memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak mereka.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami meninjau sama ada program latihan keibubapaan berasaskan tingkah laku atau kemahiran dengan komponen prihatin - latihan keibubapaan prihatin yang dipertingkat' - boleh memperbaik hasil untuk kanak-kanak dan penjaga mereka.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari julat sumber literatur yang menilai keberkesanan program latihan keibubapaan prihatin yang dipertingkat, termasuk pangkalan data elektronik, daftar-daftar kajian dan organisasi serta pakar dalam bidang tersebut. Kami sertakan kajian yang menilai intervensi ini menggunakan kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dirawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) atau reka bentuk eksperimen separa (di mana peserta dibahagikan kepada kumpulan rawatan berbeza menggunakan kaedah yang tidak benar-benar rawak). Kami sertakan kajian-kajian yang menilai penyesuaian emosi dan tingkah laku kanak-kanak, dan/atau julat hasil ibu bapa, termasuk kemahiran keibubapaan, stres keibubapaan, kemurungan atau kebimbangan, keprihatinan atau belas kasihan kendiri.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan 11 kajian dan data daripada 2118 peserta di dalam ulasan ini. Kajian-kajian membandingkan hasil kanak-kanak atau ibu bapa (atau kedua-duanya) yang menyertai program latihan keibubapaan prihatin yang dipertingkat, dengan hasil kanak-kanak atau ibu bapa (atau kedua-duanya) yang tidak mengambil bahagian dalam latihan keibubapaan, atau yang mengambil bahagian berselang-seli dalam program latihan keibubapaan berasaskan tingkah laku atau kemahiran. Apabila kami gabung penemuan-penemuan daripada kajian-kajian ini, kami dapati latihan keibubapaan prihatin yang dipertingkat mampu memperbaik penyesuaian emosi dan tingkah laku kanak-kanak, kemahiran keibubapaan, stres keibubapaan, kemurungan dan kebimbangan ibu bapa, dan keprihatinan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini. Bukti nilai tambah latihan keibubapaan prihatin apabila disertakan dalam program latihan keibubapaan berasaskan kemahiran mencadangkan latihan keprihatinan mungkin mempromosi pengurangan stres keibubapaan, dan boleh juga mengurangkan kemurungan atau kebimbangan keibubapaan, tetapi kami tidak pasti tentang keputusan ini. Adalah tidak jelas daripada bukti sedia ada sama ada menambah latihan keprihatinan sebagai intervensi kepada latihan keibubapaan berasaskan kemahiran memberi sebarang kesan lanjutan ke atas penyesuaian emosi dan tingkah laku kanak-kanak, kemahiran keibubapaan atau keprihatinan. Tiada kajian melaporkan kesan buruk atau pengukuran belas kasihan kendiri.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan keseluruhan bukti. Ini terutamanya disebabkan terdapat banyak variasi merentas intervensi-intervensi dan kumpulan peserta, dan juga cara hasil diukur. Kajian-kajian juga biasanya agak kecil, dan peserta mungkin menyedari intervensi yang diterima, yang kadangkala boleh mempengaruhi keputusan. Penemuan-penemuan ini cenderung berubah apabila lebih banyak kajian dijalankan dalam bidang penyelidikan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari dan menyertakan penyelidikan sehingga April 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (Universiti Perubatan Antarabagsa). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej UNiversiti Manipal Malaysia).

Tools
Information