L-ornihtine L-aspartate untuk pesakit hati kronik dan ensefalopati hepatik (pengurangan fungsi otak)

Latar belakang

Sirosis adalah penyakit hati yang kronik. Pesakit yang menghidapi sirosis biasanya akan mengalami ensefalopati hepatik, satu komplikasi yang menyebabkan pengurangan fungsi otak. Sesetengah pesakit yang menghidapi sirosis menunjukkan ciri-ciri klinikal gangguan fungsi otak yang jelas seperti menghadapi kesukaran dalam pertuturan, keseimbangan dan menjalankan fungsi harian; mereka dikatakan mengalami ensefalopati hepatik yang ketara; perubahan yang dialami mungkin tidak lama, mungkin berulang atau mungkin berlanjutan dalam tempoh yang panjang. Pesakit sirosis yang lain pula mungkin tidak menunjukkan perubahan klinikal yang ketara tetapi beberapa aspek fungsi otak mereka seperti tumpuan dan kebolehan untuk melakukan tugasan yang kompleks didapati terjejas bila diuji; mereka dikatakan menghidapi ensefalopati hepatik minimum. Punca pesakit mengalami ensefalopati hepatik adalah kompleks, tetapi pengumpulan toksin dari usus dalam darah, terutamanya satu sebatian yang dipanggil amonia memainkan peranan yang penting. L-ornithine, L-aspartate menurunkan paras amonia darah dan ia mungkin mempunyai kesan bermanfaat dalam pesakit yang mengalami ensefalopati hepatik atau mencegah mereka daripada mengalaminya.

Soalan ulasan

Kami mengkaji penggunaan L-ornithine L-aspartate yang diberikan melalui mulut (oral) atau ke dalam vena melalui titisan cecair (intravena) untuk pencegahan dan rawatan ensefalopati hepatik dengan menilai kajian klinikal di mana pesakit sirosis diperuntukkan rawatan secara rawak dengan L-ornithine L-aspartate kepada sulih yang tidak aktif (plasebo) atau tanpa rawatan, atau ubat lain untuk penyakit ini seperti laktulosa, probiotik dan rifaximin. Kami memasukkan pesakit sirosis yang mengalami ensefalopati hati ketara atau minimum atau yang berisiko untuk menghidapi komplikasi ini.

Tarikh carian

Disember 2017.

Sumber pembiayaan kajian

Enam daripada 36 kajian klinikal rawak yang kami sertakan tidak menerima pembiayaan atau sebarang sokongan lain daripada syarikat farmaseutikal. Tujuh belas kajian menerima bantuan kewangan daripada syarikat farmaseutikal dan tiga lagi menerima L-ornithine L-aspartate atau plasebo tidak aktif secara percuma; tiada maklumat pembiayaan dalam 10 kajian selebihnya.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 33 kajian klinikal rawak yang membandingkan L-ornithine L-aspartate dengan plasebo tidak aktif atau tanpa rawatan dan enam kajian klinikal rawak yang membandingkan L-ornithine L-aspartate dengan rawatan anti-ensefalopati lain; beberapa kajian memasukkan lebih daripada satu perbandingan. Lima daripada kajian tersebut menguji L-ornithine L-aspartate untuk pencegahan ensefalopati hepatik manakala 30 kajian menguji penggunaannya sebagai rawatan untuk pesakit ensefalopati hepatik akut, kronik atau minimum. Tempoh rawatan berbeza antara tiga ke 35 hari dalam kajian yang menguji sediaan intravena (purata lapan hari) dan antara tujuh ke 180 hari dalam kajian yang menguji sediaan oral (purata 30 hari).

Hasil utama

Analisis kami menunjukkan L-ornithine L-aspartate mungkin mengurangkan kematian, memperbaiki ensefalopati hepatik dan mencegah kesan sampingan yang serius berbanding plasebo atau tanpa rawatan tetapi ia tidak mempunyai kesan bermanfaat tambahan apabila dibandingkan dengan penggunaan ubat-ubat lain yang digunakan untuk mencegah dan merawat penyakit ini.

Kualiti bukti

Bukti yang diperolehi adalah sangat lemah, oleh itu kami tidak yakin bahawa L-ornithine L-aspartate berguna untuk mencegah atau merawat ensefalopati hepatik dalam pesakit sirosis. Banyak kajian belum diterbitkan, oleh itu belum melalui proses semakan yang teliti dan banyak kajian yang telah diterbitkan menerima bantuan daripada industri farmaseutikal yang boleh menyisipkan unsur bias. Sehubungan itu, lebih banyak maklumat diperlukan sebelum kepentingan L-ornithine L-aspartate untuk mencegah dan merawat ensefalopati hepatik dapat ditentukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi. Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information