Antibiotik makrolida untuk bronkiektasis

Latar belakang kepada soalan

Bronkiektasis adalah keadaan pernafasan jangka panjang. Saluran udara di paru-paru rosak, dan orang terdedah kepada jangkitan. Tanda-tanda adalah batuk kronik dan penghasilan sputum (kahak dari saluran udara yang lebih rendah). Selain itu, bronkiektasis dikaitkan dengan lebih dua kali ganda kadar mortaliti daripada populasi umum.

Terapi antibiotik jangka panjang dengan makrolida (seperti azithromycin, roxithromycin, eritromisin, dan clarithromycin) boleh mengurangkan kitaran jangkitan semula, mengurangkan gejala, dan menambahbaik kualiti hidup. Kami ingin melakukan ulasan ini untuk melihat bukti penggunaan makrolida dalam kalangan orang dengan bronkiektasis. Ulasan ini bertujuan untuk membantu orang seperti pengeluar garis panduan, doktor, dan pesakit membuat keputusan sama ada untuk menggunakan atau mengesyorkan makrolida.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 15 kajian yang membandingkan makrolida dengan plasebo (bahan atau rawatan tanpa manfaat) atau tiada intervensi. Sebelas kajian melibatkan 690 orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) dan empat kajian melibatkan 190 kanak-kanak. Dalam kalangan orang dewasa, enam kajian menggunakan azithromycin, empat menggunakan roxithromycin, dan satu menggunakan eritromisin. Empat kajian dengan kanak-kanak menggunakan azithromycin, clarithromycin, eritromisin, atau roxithromycin. Ulasan ini adalah terkini hingga Januari 2018.

Keputusan utama

Kajian mengenai azithromycin melaporkan penambahbaikan kualiti hidup dalam kalangan orang dewasa. Kami tidak mempunyai cukup bukti dari makrolida lain untuk membuat keputusan yang teguh terhadap penggunaannya, dan kami juga tidak mempunyai bukti yang cukup daripada kanak-kanak untuk membuat kesimpulan yang jelas.

Walaupun kami mendapati hanya beberapa kajian, ia menunjukkan kemungkinan dalam peningkatan rintangan antibiotik. Rintangan antibiotik dilihat apabila antibiotik menjadi kurang berkesan untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jangkitan dada.

Kami mengetahui bahawa makrolida dikaitkan dengan risiko kematian kardiovaskular yang lebih tinggi dan kesan sampingan lain-lain yang serius apabila ia digunakan untuk merawat keadaan lain. Data dalan ulasan kami mencadangkan bahawa orang yang mempunyai bronkiektasis berisiko untuk kesan-kesan buruk apabila mengambil makrolida.

Kualiti bukti

Secara umum jumlah kajian terhad yang menilai makrolida dan variasi di antaranya menunjukkan kami tidak dapat memastikan kesan keseluruhan penggunaannya dalam bronkiektasis. Kajian-kajian berkualiti tinggi yang lebih lanjut diperlukan untuk mengkaji peranan antibiotik makrolida jangka panjang dalam rawatan orang dewasa dan kanak-kanak dengan bronkiektasis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information