Rangsangan elektrik tidak invasif untuk inkontinens urinari stres di kalangan wanita

Soalan ulasan

Kami mengkaji sama ada rangsangan elektrik adalah lebih baik daripada tiada rawatan langsung ataupun lebih baik daripada rawatan lain yang sedia ada untuk menyembuhkan atau menangani gejala inkontinens urinari stres (SUI) di kalangan wanita. Kami juga mengkaji sama ada SUI boleh disembuhkan atau ditangani dengan menambahkan rangsangan elektrik kepada rawatan lain, berbanding dengan rawatan lain dan pelbagai jenis rangsangan elektrik. Akhirnya, kami menyiasat sama ada rangsangan elektrik adalah berbaloi dengan harganya.

Latar belakang

Kira-kira 25% hingga 45% wanita di seluruh dunia mengalami masalah kebocoran urin secara tidak sengaja. Wanita yang menghidap SUI kerap mengalami kebocoron urin dengan daya fizikal seperti batuk atau bersin. SUI boleh dirawat dengan latihan otot lantai pelvis, kon vagina, terapi ubat-ubatan atau pembedahan, tetapi terdapat pelbagai masalah dengan rawatan-rawatan ini. Suatu alternatif yang berpotensi ialah rangsangan elektrik dengan peranti bukan implan, di mana arus elektrik disalurkan melalui elektrod vagina.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 27 Februari 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 56 kajian (melibatkan sejumlah 3781 wanita, kesemuanya dengan inkontinens urinari stres tetapi segelintir dengan inkontinens desakan juga) yang membandingkan rangsangan elektrik dengan tiada rawatan atau dengan rawatan sedia ada yang lain.

Keputusan utama

Untuk menyembuhkan atau menambahbaik SUI, rangsangan elektrik berkemungkinan adalah lebih baik daripada tiada rawatan aktif atau rawatan palsu. Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menyatakan sama ada ianya lebih baik daripada latihan otot lantai pelvis dalam menyembuhkan atau menambahbaik SUI, atau untuk kualiti hidup. Penambahan rangsangan elektrik kepada latihan otot lantai pelvis mungkin tidak membawa banyak perbezaan dalam menyembuhkan atau menambahbaik SUI. Tidak dapat dipastikan sama ada ia menawarkan sebarang penambahbaikan dalam kualiti hidup berbanding dengan latihan otot lantai pelvis.

Kami mendapati segelintir wanita telah melaporkan kesan buruk dengan rangsangan elektrik, tetapi tiada bukti kukuh yang cukup untuk membandingkan rangsangan elektrik dengan rawatan lain bagi mengetahui lebih lanjut tentang keselamatannya.

Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk membandingkan rangsangan elektrik dengan rawatan sedia ada yang lain seperti terapi ubat-ubatan, latihan otot lantai pelvis beserta kon vagina, pembedahan, atau pelbagai bentuk rangsangan elektrik, untuk menyediakan panduan berasaskan bukti tentang rawatan manakah yang lebih baik, dan untuk wanita yang mana, dalam menyembuhkan atau menambahbaik SUI atau dalam meningkatkan kualiti hidup. Tiada maklumat daripada kajian-kajian ini untuk menganggarkan jika nilainya berbaloi dengan harga.

Kualiti bukti

Terdapat beberapa bukti yang menyokong penggunaan rangsangan elektrik untuk inkontinens urinari stres di kalangan wanita, tetapi kami masih sangat tidak yakin tentang potensi sepenuhnya rawatan ini disebabkan kualti bukti sedia ada yang rendah. Walaupun kami menemui bukti yang menunjukkan bahawa rangsangan elektrik berkemungkinan lebih baik daripada tiada sebarang rawatan, kami tidak menemui cukup kajian yang direka dengan baik dengan bilangan wanita yang memadai untuk menjawab sepenuhnya soalan ulasan kami, justeru kami masih tidak tahu sekiranya rangsangan elektrik adalah lebih baik atau lebih buruk berbanding rawatan lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information