Rawatan untuk kanak-kanak yang berjalan menjengket yang tidak berkaitan dengan masalah perubatan

Latar belakang

Adalah dianggarkan bahawa sehingga lima peratus kanak-kanak didiagnosis dengan berjalan menjengket tanpa sebarang sebab perubatan (yang dikenali sebagai berjalan menjengket idiopatik; ITW). Kami tidak tahu mengapa kanak-kanak mempunyai gaya berjalan ini atau apa kesan jangka panjangnya. Kanak-kanak dengan ITW sering menemui profesional kesihatan dengan otot yang ketat di bahagian betis. Ketegangan ini sering diatasi dengan regangan, acuan plaster, atau pembedahan.

Soalan ulasan

Kami berminat dengan kesan rawatan untuk ITW dalam kalangan kanak-kanak. Penulis Cochrane mengumpulkan kajian klinikal yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menilai bukti.

Tarikh yang dikemaskini

Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 29 April 2019.

Ciri-ciri kajian

Empat kajian memenuhi kriteria kemasukan. Mereka merangkumkan seramai 104 orang; namun, tiga kajian tidak memberikan hasil yang dapat kami rangkumkan dalam ulasan. (Satu kajian mengkaji pelbagai jenis ortosis kaki, yang merupakan alat dalam kasut yang mengagihkan daya dan mengubah gaya berjalan), dan dua kajian meneliti kesan penambahan suntikan toksin botulinum ke pelbagai rawatan seperti regangan, senaman, splin, dan kasut.) Oleh itu, ulasan ini hanya merangkumkan hasil satu kajian, di mana 47 kanak-kanak (berumur antara 5 dan 14.5 tahun) mendapat rawatan sama ada dengan acuan plaster sahaja atau acuan plaster dan suntikan toksin botulinum A (BTX) ke otot betis. Kajian itu melaporkan sejauh mana kanak-kanak berjalan menjengket (berdasarkan pemerhatian ibu bapa mereka), sebarang perubahan dalam pergerakan pergelangan kaki, dan relaps (sama ada kanak-kanak masih berjalan menjengket 12 bulan selepas rawatan). Kajian yang dimasukkan berlaku di Sweden dan tidak dibiayai oleh sesiapa yang mempunyai kepentingan komersial terhadap hasil kajian tersebut.

Keputusan

Bukti adalah sangat tidak pasti untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan dalam hasil atau tidak (jumlah berjalan menjengket yang diperhatikan oleh ibu bapa, pergerakan di pergelangan kaki, atau berjalan menjengket berulang pada 12 bulan) antara kanak-kanak yang menerima acuan plaster dan suntikan BTX ke otot betis, berbanding dengan yang hanya menerima plaster sahaja.

Terdapat sebilangan kecil kejadian buruk dalam kedua-dua kumpulan, termasuk sakit betis dan masalah kulit yang kecil semasa rawatan.

Kesimpulan

Bukti yang ada adalah sangat tidak pasti untuk menentukan sama ada rawatan dengan suntikan BTX dan acuan plaster adalah lebih berkesan berbanding sekadar plaster dalam kalangan kanak-kanak dengan berjalan menjengket yang tidak berkaitan dengan keadaan perubatan. Bukti terhad yang ditemui dalam ulasan ini menunjukkan keperluan penyelidikan pada masa ha dapan mengenai rawatan untuk keadaan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save