N-acetylcysteine yang diambil dengan antibiotik untuk rawatan jangkitan Helicobacter pylori

Soalan ulasan

Adakah penambahan N-acetylcysteine kepada antibiotik selamat dan adakah ia memperbaiki kadar penyembuhan untuk jangkitan Helicobacter pylori?

Latar belakang

Helicobacter pylori (H pylori) adalah bakteria yang hidup di dalam perut dan mungkin menyebabkan beberapa penyakit seperti kanser gaster, penyakit ulser, dan lain-lain. Pengkolonian berlaku di dalam hampir separuh daripada populasi dunia dan lebih lazim di negara-negara dengan keadaan sanitasi yang buruk. Orang ramai dijangkiti dengan mengambil air yang tercemar.

Jangkitan ini dirawat menggunakan antibiotik dan ubat yang mengurangkan pengeluaran asid di dalam perut. Walau bagaimanapun, kadar rintangan antibiotik meningkat di seluruh dunia, yang mengurangkan kadar penyembuhan walaupun dengan rawatan. Ubat-ubatan baharu sedang diuji untuk memperbaiki kadar penyembuhan. Salah satu ubat tersebut adalah N-acetylcysteine (NAC). NAC adalah ubat yang membantu melarutkan lendir dalam penyakit pernafasan. Ia boleh diambil melalui mulut (secara oral) atau disuntik ke dalam vena (intravena). NAC boleh memusnahkan beberapa mekanisme survival H pylori dan dapat memperbaiki kadar penyembuhan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lapan kajian (khususnya, kajian rawak terkawal (RCT)) dengan jumlah 559 orang berumur di antara 17 dan 76 tahun. Bukti adalah terkini sehingga April 2018. Semua kajian merekrut pesakit luar dari pusat endoskopi (pusat khusus dalam pemeriksaan yang dibuat dengan tiub fleksibel dengan kamera yang dimasukkan ke dalam perut) di beberapa negara. Kombinasi antibiotik yang diuji adalah sangat berbeza dalam kajian-kajian yang tersebut, seperti dos NAC (600 mg hingga 1800 mg sehari). NAC dibandingkan dengan plasebo (pil palsu) atau tiada rawatan.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada penambahan NAC kepada antibiotik memperbiki kadar penyembuhan H pylori berbanding penambahan plasebo atau tiada NAC. Sebarang kemungkinan manfaat NAC harus diterima dengan berhati-hati kerana kajian-kajian yang dimasukkan sangat berbeza dan berkepastian rendah, dengan beberapa kelemahan yang boleh kompromi keputusan mereka dan seterusnya keputusan ulasan ini.

Kami tidak pasti sama ada NAC dikaitkan dengan risiko lebih tinggi peristiwa buruk gastrousus atau alahan berbanding plasebo atau tiada NAC. Tiada laporan mengenai peristiwa buruk toksik di dalam kajian-kajian yang dimasukkan.

Kajian klinikal rawak lanjutan yang lebih besar dengan reka bentuk baik, dengan standard pelaporan yang baik dan pengumpulan hasil keberkesanan dan keselamatan yang bersesuaian harus dilakukan, khasnya untuk kombinasi antibiotik semasa yang disyorkan.

Kualiti bukti

Kepastian keseluruhan bukti bagi kadar pembasmian berkisar antara sangat rendah hingga rendah. Lima kajian menyediakan maklumat peristiwa buruk (kesan sampingan), dan kepastian bukti adalah sangat rendah. Kajian-kajian yang dimasukkan tidak dilaksanakan dengan baik dan ini mengurangkan keyakinan kami terhadap keputusannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information