Adakah rawatan laser yang baharu berfungsi lebih baik daripada rawatan laser standard untuk retinopati diabetes proliferatif?

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menyiasat sama ada cara baharu melakukan rawatan laser untuk retinopati diabetes proliferatif (dijelaskan di bawah 'Apa yang dikaji dalam ulasan?' di bawah) berfungsi lebih baik daripada rawatan standard. Para penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 11 kajian.

Mesej-mesej utama
Terdapat bukti yang terhad mengenai manfaat dan bahaya pelbagai sistem atau strategi laser berbanding dengan rawatan standard.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Orang dengan diabetes boleh mengalami masalah di bahagian belakang mata mereka yang boleh menjejaskan penglihatan. Salah satu masalah ini ialah pertumbuhan saluran darah baharu yang berbahaya di retina (lapisan yang menutupi bahagian belakang mata yang membolehkan orang melihat); ini dipanggil retinopati diabetes proliferatif, dirujuk sebagai 'PDR'. Kehilangan penglihatan boleh berlaku akibat PDR. Laser Argon telah diguna untuk merawat PDR selama bertahun-tahun. Jenis laser baharu dan cara baharu melakukan rawatan laser telah dibangunkan untuk merawat PDR. Ulasan ini bertujuan untuk menilai bukti manfaat dan mudarat rawatan-rawatan baharu ini.

Apakah keputusan utama ulasan?
Para penyelidik Cochrane mendapati 11 kajian yang relevan. Empat kajian dilakukan di Itali, dua kajian dilakukan di AS, satu di Korea Selatan, satu di Iran, satu di Slovenia, satu di Greece dan satu di India. Semua orang yang terlibat dalam kajian ini mempunyai PDR disebabkan oleh diabetes jenis 1 atau jenis 2. Kebanyakan kajian adalah kecil dan memberi bukti terhad untuk menentukan keputusan rawatan.

Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 8 Jun 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information