Fluvastatin untuk menurunkan lipid

Soalan ulasan

Apakah kesan pelbagai dos fluvastatin pada lipid darah?

Kesan pelbagai dos fluvastatin pada lipid darah diukur dalam 145 kajian.

Latar belakang

Fluvastatin dianggap sebagai statin yang paling kurang poten tetapi kesan bergantung dos fluvastatin kepada lipid tidak diketahui. Adalah menarik untuk mengetahui berapa banyak fluvastatin dapat merendahkan lipid darah dalam 145 kajian dapatan semula.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2017.

Ciri-ciri kajian

Kajian-kajian rawak terkawal dan tidak terkawal plasebo sebelum dan selepas pelbagai tetapan dos fluvastatin. Kajian-kajian tersebut adalah bertempoh tiga hingga 12 minggu.

Peserta boleh sebarang umur dan jantina dengan atau tanpa bukti penyakit kardiovaskular.

Sebanyak seratus empat puluh lima kajian melibatkan 18,846 peserta.

Keputusan utama

Fluvastatin 10 mg/hari hingga 80 mg/hari mengurangkan kolesterol LDL sebanyak 15% hingga 33%. Terdapat kesan bergantung dos linear yang kuat terhadap jumlah kolesterol darah dan kolesterol LDL dan kesan bergantung dos linear yang lemah terhadap trigliserida darah. Tiada kesan bergantung dos fluvastatin kepada kolesterol HDL darah.

Berdasarkan kesan kepada kolesterol LDL, fluvastatin adalah 12 kali ganda kurang poten daripada atorvastatin dan 46 kali ganda kurang poten daripada rosuvastatin.

Daripada 36 kajian terkawal plasebo hanya 16 melaporkan penarikan ubat akibat kesan buruk (WDAE). WDAE adalah lebih tinggi, nisbah risiko 1.52 (selang keyakinan 95% (CI) 0.94 hingga 2.45), menunjukkan ketidakpastian, tetapi berkemungkinan peningkatan kesan buruk.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah tinggi untuk tahap lipid. Bagi WDAE kualiti bukti adalah sangat rendah kerana 20 (55.6%) daripada 36 kajian terkawal plasebo tidak melaporkan WDAE.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information