Gabungan pelbagai ujian yang berbeza untuk diagnosis bukan-invasif endometriosis

Soalan ulasan

Bolehkah gabungan pelbagai ujian bukan-invasif yang berbeza memberikan keputusan dengan tepat untuk menggantikan atau mengurangkan keperluan pembedahan dalam diagnosis endometriosis?

Latar belakang

Wanita yang mengidap endometriosis mempunyai tisu endometrial (tisu yang melapis rahim dan digugurkan semasa haid) menumbuh di luar rahim dalam kaviti pelvik. Tisu ini bertindak balas kepada hormon-hormon reproduktif, menyebabkan kesakitan haid, kesakitan bahagian bawah abdominal yang kronik dan kesusahan menjadi hamil. Perkembangan semasa menyatakan hanya kaedah untuk mendiagnosis endometriosis adalah melalui pembedahan lubang kecil dan paparan visual deposit endometrial dalam abdomen. Oleh kerana pembedahan berisiko dan mahal, gabungan beberapa ujian telah dinilai untuk kemampuan mereka untuk mengesan endometriosis secara bukan-invasif. Ujian yang tepat dapat mencapai diagnosis endometriosis tanpa keperluan pembedahan atau mungkin boleh mengurangkan keperluan untuk pembedahan diagnostik supaya hanya wanita yang paling berkemungkinan mengalami endometriosis memerlukannya.

Ciri-ciri Kajian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga April 2015. Kami merangkumi 11 kajian mengenai gabungan beberapa kaedah ujian yang melibatkan 1339 peserta. Semua kajian menilai wanita dalam usia reproduktif yang sedang menjalani pembedahan diagnostik untuk menyiasat simtom-simtom endometriosis atau untuk sebab-sebab lain. Lima belas gabungan yang berbeza iaitu, biomarker darah, endometrial dan kencing telah dikaji, melalui ultrasound, sejarah klinikal dan pemeriksaan. Setiap gabungan ujian dinilai dalam kajian-kajian tunggal yang kecil.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Beberapa kajian mengenalpasti ujian gabungan yang mungkin bernilai dalam mencapai diagnosis endometriosis, tetapi terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan manfaat diagnostik mereka.

Kualiti metodologi kajian adalah rendah, menyebabkan keputusan-keputusan ini tidak dapat dianggap tepat kecuali disahkan menggunakan kajian-kajian besar yang berkualiti tinggi. Keseluruhannya, bukti tidak mencukupi bagi menunjukkan manfaat sebarang gabungan ujian bukan-invasif untuk penggunaan dalam amalan klinikal untuk diagnosis endometriosis dibanding dengan ‘piawai emas’ terkini iaitu laparoskopi diagnostik.

Penyelidikan masa depan

Kajian penyelidikan tambahan yang berkualiti tinggi diperlukan untuk menentukan dengan tepat potensi diagnostik apa-apa jenis ujian bukan-invasif ataupun kombinasi yang dikenalpastikan dalam hanya beberapa kajian sebagai berpotensi bernilai dalam pengesanan endometriosis.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information