Latihan kognitif berkomputer untuk mengekalkan fungsi kognitif dalam kalangan orang pertengahan umut yang sihat kognitifnya

Latar belakang

Istilah ‘kognisi’ dan ‘fungsi kognitif’ merujuk kepada semua aktiviti mental yang berkait dengan pemikiran, pembelajaran, ingatan, dan berkomunikasi. Perubahan normal dalam kognisi menjadi jelas dengan penuaan. Penyakit juga mungkin mempengaruhi kognisi, terutamanya demensia, yang menjadi semakin lazim dengan peningkatan umur dari 65 tahun ke atas. Para penyelidik menunjukkan minat yang mendalam untuk cuba mencegah pengurangan kognitif dan demensia. Jelas bahawa mental yang aktif sepanjang hidup dikaitkan dengan risiko demensia yang lebih rendah. Oleh itu, cadangan menggalakkan aktiviti mental pada pertengahan umur (yang kami takrifkan dalam ulasan ini sebagai berumur 40 sehingga 65 tahun) mungkin cara berkesan untuk mengekalkan fungsi kognitif yang baik sambil umur meningkat. Latihan kognitif melibatkan satu set tugas terpiawai yang bertujuan memberi ‘senaman otak’ dengan pelbagai cara. Program latihan kognitif sering disampaikan melalui komputer atau teknologi bergerak supaya orang boleh melakukan aktiviti sendiri di rumah. Ia disediakan dalam pakej komersial yang diiklankan kepada masyarakat umum. Kami ingin tahu sama ada latihan kognitif berkomputer berkesan untuk orang berusia antara 40 hingga 65 tahun mengekalkan fungsi kognitif yang baik sambil usia meningkat.

Apa yang telah kami lakukan

Kami mencari literatur perubatan sehingga 15 Mac 2018 untuk kajian-kajian yang membandingkan fungsi kognitif orang berumur 40 ke 65 tahun yang telah mengambil bahagian dalam latihan kognitif berkomputer selama sekurang-kurangnya tiga bulan berbanding dengan kumpulan kawalan yang tidak berbuat demikian. Untuk perbandingan yang adil, para peserta diputuskan secara rawak samada ditempatkan dalam kumpulan latihan kognitif atau kumpulan kawalan. Kami berminat untuk mengetahui ukuran kognisi keseluruhan. Pemilihan tempoh tiga bulan untuk intervensi adalah arbitrari, tetapi kami berpendapat tempoh latihan yang lebih pendek tidak mungkin memberi kesan jangka panjang.

Apa yang kami temui

Kami mendapati banyak kajian lebih pendik dijalankan, tetapi hanya satu kajian yang memenuhi kriteria kami untuk ulasan ini. Ia berlangsung di UK dan memasukkan dua jenis latihan kognitif atas talian. Kumpulan kawalan mengambil bahagian dalam permainan atas talian yang tidak dijangka untuk kesan kognitif. Latihan ini berlanjutan selama enam bulan, dan pengarang kajian mengukur kognisi pada penghujung tempoh latihan. Penyelidik merawak 6742 orang di dalam kajian tersebut, tetapi kadar keciciran adalah tinggi. Kami fikir ini keputusan-keputusan berisiko bias tinggi; oleh itu kami menganggap kualiti bukti kajian ini adalah rendah, bermaksud penyelidikan lanjutan mungkin memberi keputusan berbeza. Kajian tersebut ini tidak mengukur kefungsian kognitif keseluruhan - yang kami paling berminat - tetapi ia mengukur sesetengah subjenis fungsi kognitif. Kumpulan latihan kognitif adalah sedikit lebih baik dalam ujian pertimbangan, dan kumpulan kawalan adalah sedikit lebih baik dalam ujian memori kerja, iaitu memori jenis jangka sangat pendek. Tiada bukti mencadangkan kumpulan-kumpulan tersebut berbeza dalam memori yang diukur dengan ujian pembelajaran perkataan.

Kesimpulan kami

Kami tidak dapat menentukan sama ada mengambil bahagian dalam latihan kognitif berkomputer pada pertengahan umur mempunyai sebarang kesan berkekalan ke atas fungsi kognitif. Kami fikir ini adalah soalan penting yang patut disiasat dalam kajian lanjutan yang menguji latihan kognitif selama tiga bulan atau lebih. Ia juga penting untuk penyelidik cuba mencari cara terbaik untuk mengekalkan motivasi orang meneruskan latihan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save