Penghentian oksitosin intravena yang diguna untuk merangsang kontraksi rahim di fasa aktif persalinan teraruh

Apakah isunya?

Oksitosin adalah hormon semula jadi, yang menyebabkan rahim mengalami kontraksi regular yang menyakitkan dan permulaan persalinan. Ia didapati sebagai ubat intravena (diberi melalui vena, (IV)) dan diinfusi perlahan untuk merangsang persalinan secara buatan jika doktor atau bidan berasa perlu untuk mempercepat kelahiran bayi, atau jika ibu meminta. Di negara-negara Barat, kira-kira satu daripada empat wanita hamil bersalin dengan induksi, biasanya dengan ubat prostaglandin sama ada secara tunggal atau kombinasi dengan oksitosin.

Risiko yang berkait dengan penggunaan oksitosin IV untuk merangsang kontraksi rahim termasuk wanita mengalami kontraksi yang terlalu lama atau terlalu kerap (hiperstimulasi rahim), yang boleh mengubah kadar denyut jantung bayi dan keperluan untuk pembedahan caesar kecemasan. Ulasan ini mengkaji sama ada menghentikan oksitosin IV setelah persalinan bermula (iaitu dilatasi serviks melebihi separuh) mengurangkan risiko kepada ibu dan bayi berbanding meneruskan oksitosin IV.

Mengapakah ini penting?

Menghentikan infusi oksitosin selepas persalinan aktif bermula membolehkan kelahiran semula jadi, terutamanya jika risiko rahim terlebih rangsang dan keperluan pembedahan caesar kecemasan dapat dikurangkan. Juga, dos keseluruhan oksitosin yang diterima oleh ibu dapat dikurangkan, dan membawa kurang kesan buruk (seperti ibu mual, muntah dan sakit kepala, atau perubahan kadar denyut jantung bayi).

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti (Januari 2018) dan mendapati 10 kajian rawak terkawal (1888 wanita dan bayi mereka) yang dijalankan antara Februari 1998 dan Januari 2016 di hospital di Denmark, Greece, Turki, Israel, Iran, USA, Bangladesh, India dan Thailand. Kami tidak yakin dengan keputusan-keputusan kerana keterbatasan reka bentuk kajian serta cara penemuan dilaporkan.

Menghentikan oksitosin IV semasa persalinan aktif dapat mengurangkan bilangan wanita yang menjalani pembedahan caesar (sembilan kajian, 1784 wanita). Walau bagaimanapun, apabila kami lakukan analisis lain yang memasukkan hanya wanita yang benar-benar dalam persalinan aktif, kami dapati mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua kumpulan (empat kajian, 787 wanita).

Menghentikan oksitosin IV mungkin mengurangkan risiko wanita mengalami kontraksi yang terlalu lama atau terlalu kuat sehingga menyebabkan perubahan kadar denyut jantung bayi (tiga kajian, 486 wanita). Kami tidak pasti sama ada menghentikan oksitosin IV atau tidak, mempengaruhi risiko jangkitan bakteria membran atau kantung di dalam rahim (satu kajian, 252 wanita). Menghentikan oksitosin IV semasa persalinan mungkin menyebabkan sedikit atau tiada impak kepada penggunaan analgesia dan epidural berbanding wanita yang terus menerima oksitosin IV (tiga kajian, 556 wanita).

Mungkin ada kurang bilangan bayi dengan keputusan kardiotokografi abnormal (kaedah elektronik mengukur kedua-dua kontraksi wanita dan denyutan jantung bayi) dalam kumpulan yang dihentikan oksitosin IV berbanding wanita yang terus menerima oksitosin IV (tujuh kajian, 1390 wanita).

Berbanding oksitosin IV berterusan, penghentian oksitosin IV mungkin hanya sedikit atau tiada kesan terhadap bilangan bayi dengan skor rendah pada ujian kesejahteraan standard untuk bayi baru lahir (Apgar), lima minit selepas dilahirkan (empat kajian, 893 wanita), atau ukuran kesejahteraan bayi lain yang melibatkan analisis darah dari tali pusat (empat kajian, 873 wanita).

Kajian yang disertakan tidak banyak melaporkan hasil dalam ulasan ini, termasuk kematian ibu atau bayinya.

Apakah maksudnya?

Menghentikan oksitosin selepas permulaan fasa aktif persalinan dapat mengurangkan bilangan wanita mengalami kontraksi yang terlalu lama atau terlalu kuat yang menyebabkan perubahan denyut jantung bayi serta risiko menjalani pembedahan caesar. Walau bagaimanapun, mungkin pengurangan risiko pembedahan caesar merupakan artefak reka bentuk kajian yang kurang baik.

Kajian berkualiti lebih baik diperlukan. Ini boleh dimasukkan ke dalam analisis wanita yang tidak mencapai fasa aktif persalinan kerana bayi mereka dilahirkan lebih awal secara caesar, dan mereka yang bersalin terlalu cepat di mana oksitosin tidak dapat dihentikan pada waktu itu, iaitu analisis harus dilakukan dengan ‘niat untuk merawat’.

Kajian masa depan boleh menyertakan hasil yang disenarai dalam ulasan ini, termasuk kepuasan wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information