Kelebihan dan masalah blok saraf spesifik dalam kalangan dewasa yang menjalani pembedahan lutut

Latar belakang

Sakit postoperatif selepas pembedahan lutut terus menjadi masalah penjagaan kesihatan yang relevan. Kombinasi pelbagai ubat tahan sakit adalah cara terbaik untuk merawat sakit postoperatif. Salah satu cara adalah menyekat saraf spesifik (anestesia sebahagian) yang bertanggungjawab untuk rasa sakit. Untuk sekian lama, menyekat saraf femoral, yang bertanggungjawab untuk sensasi (contohnya sakit) dan pergerakan bahagian kaki atas, adalah sangat penting. Sejak kebelakangan, menyekat hanya satu bahagian spesifik saraf ini (dipanggil blok salur aduktor) yang tidak mempengaruhi pergerakan kaki atas, telah menjadi lebih menarik.

Soalan ulasan

Kami menyiasat kelebihan dan masalah blok salur aduktor berbanding rawatan sham (pesakit yang menerima salina dan bukannya dadah) dan anestesia sebahagian yang lain untuk rawatan sakit postoperatif dalam kalangan dewasa yang menjalani pembedahan lutut.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 25 kajian klinikal di mana orang dirawak ke dalam satu atau lebih kumpulan rawatan (dinamakan ‘kajian rawak terkawal’) dengan keputusan laporan sejumlah 1688 peserta (929 wanita, 759 lelaki). Peserta berumur di antara 29 hingga 72 tahun. Lapan kajian membandingkan peserta yang menerima blok salur aduktor dengan pesakit yang menerima salina. Sejumlah 15 RCT membandingkan blok salur aduktor dengan blok saraf femoral. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2018. Tiada kajian dibiaya oleh industri.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada pesakit yang dirawat dengan blok salur aduktor mempunyai intensiti sakit yang lebih rendah semasa rehat atau semasa pergerakan (contohnya berjalan) berbanding pesakit yang hanya menerima salina. Tidak jelas sama ada kadar peristiwa buruk selepas mengambil opioid (contohnya loya) atau selepas jatuh yang tidak sengaja postoperatif adalah lebih rendah. Tidak pasti juga sama ada pesakit yang menerima blok salur aduktor menunjukkan intensiti sakit postoperatif yang berbeza semasa rehat dan semasa pergerakan berbanding pesakit yang dirawat dengan blok saraf femoral. Kami tidak mencatat perbezaan peristiwa buruk selepas mengambil opioid dan selepas jatuh yang tidak sengaja.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai rendah atau sangat rendah. Berbeza pula, kami menilai sakit semasa rehat (pada 24 jam) sebagai bukti berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi gwaldie@outlook.com

Tools
Information
Share/Save