Strategi untuk membantu para doktor mengubah cara mereka mempreskrib antibiotik untuk pesakit yang mengalami jangkitan pernafasan akut

Soalan gambaran keselruhan

Gambaran keseluruhan ini bertujuan merumuskan semua bukti dari ulasan sistematik mengenai strategi yang diarahkan kepada doktor untuk mengurangkan preskripsi antibiotik kepada pesakit dengan jangkitan pernafasan akut (jangkitan telinga, hidung, tekak atau dada).

Latar belakang

Adalah penting bagi antibiotik diguna untuk penyakit di mana ia boleh membuat perubahan kepada gejala dan pemulihan pesakit dan ia sedia ada untuk jangkitan serius yang boleh mengakibatkan kecacatan atau kematian. Antibiotik mungkin boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan bagi pesakit yang mempunyai jangkitan telinga, hidung, tekak, atau dada yang disebabkan oleh virus (contohnya selesema, flu atau sakit tekak). Doktor boleh mempreskrib antibiotik dengan terlalu mudah untuk pesakit yang mengalami gejala ini. Strategi untuk mengubah tabiat preskripsi antibiotik doktor telah dibangunkan untuk mengurangkan bilangan antibiotik yang diberi kepada pesakit dengan gejala-gejala tersebut. Beberapa jenis strategi wujud, dan adalah penting untuk mengumpulkan semua maklumat tentang bagaimana cara-cara tersebut berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti lima Ulasan Cochrane dan tiga ulasan bukan Cochrane. Ulasan ini berbeza dalam bilangan kajian yang dimasukkan dan bilangan peserta dalam kajian. Kualiti kedua-dua ulasan dan kajian adalah berbeza-beza.

Keputusan utama

Kami mendapati bukti berkualiti sederhana tiga jenis strategi yang mungkin membantu mengurangkan preskripsi antibiotik dalam penjagaan primer. Semua strategi yang menggalakkan penggunaan membuat keputusan bersama antara doktor dan pesakit, ujian protein C-reaktif, dan pengurusan berpandu-procalcitonin (kedua-dua ujian yang mengukur jumlah protein dalam darah, yang boleh meningkat dalam kes jangkitan) mungkin mengurangkan preskripsi antibiotik dalam amalan umum. Pengurusan berpandu-Procalcitonin juga mungkin mengurangkan preskripsi antibiotik di jabatan kecemasan. Strategi-strategi tersebut dapat mengubah preskripsi antibiotik sambil membuat pesakit gembira dengan perundingan mereka dan memastikan mereka tidak perlu kembali kepada doktor mereka untuk penyakit yang sama. Tiada maklumat mengenai kos strategi-startegi tersebut, oleh itu adalah sukar untuk menimbangkan manfaat dan kos.

Kualiti bukti untuk strategi yang bertujuan mendidik doktor tentang preskripsi antibiotik, yang memberikan bantuan keputusan untuk doktor bagi membantu mereka mengubah cara preskripsi mereka, dan untuk penggunaan diagnostik virus yang pesat di jabatan kecemasan adalah rendah atau sangat rendah, bermakna kami tidak dapat membuat kesimpulan kukuh mengenai kesan strategi-strategi tersebut.

Sebagai kesimpulan, kami mendapati beberapa strategi yang ditujukan kepada doktor mungkin dapat membantu mengurangkan preskripsi antibiotik dalam penjagaan primer. Kajian lanjutan diperlukan untuk jenis strategi lain di mana terdapat kurang maklumat mengenai kebolehan untuk mengubah preskripsi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information